Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS P Pinang tawarkan KERJA di Sungai Bakap

PRK SG BAKAP | Tinggal tiga hari lagi sebelum semua aktiviti berkempen ditamatkan, PAS Pulau Pinang membentangkan tawaran buat rakyat sebagai manifesto calon PN DUN Sungai Bakap, Abidin Ismail.

Pakej tawaran itu yang diakronim sebagai KERJA memberi gambaran kesediaan calon mereka untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Pesuruhjaya PAS negeri Muhammad Fauzi Yusoff yang mewakili Abidin berkata singkatan K merujuk kepada "Khidmat kepada masyarakat", antaranya dengan menyediakan dua pusat khidmat dan perkhidmatan bergerak untuk memudahkan penduduk Sungai Bakap mendapatkan bantuan.

Katanya ia juga meliputi program sukarelawan untuk menggerakkan khidmat kesukarelawan bagi membantu golongan kurang kemampuan.

“Selain itu perkhidmatan bantuan kecemasan iaitu dengan memperkasakan bantuan kecemasan bencana untuk mempercepatkan penyaluran bantuan,” katanya pada sidang media di Sungai Jawi, Nibong Tebal, hari ini.

Muhammad Fauzi berkata, E pula mewakili "Ekonomi dan peluang pekerjaan" dengan menyediakan latihan keusahawanan, bantuan kewangan dan promosi pelancongan.

“R pula merujuk 'Rangkaian infrastruktur' iaitu dalam pembekalan air, penyelenggaraan jalan raya dan kemudahaan awam seperti pasar, taman reakrasi dan dewan orang ramai untuk kesejahteraan penduduk.

“PAS bertekad untuk menyelesaikan masalah-masalah bekalan air, jalan raya dan kemudahan rakyat di samping memantau projek-projek kerajaan berjalan dengan baik,” jelasnya.

Muhammad Fauzi Yusoff

Tambah Adun Sungai Dua itu, J pula mewakili "Jaminan mengutamakan rakyat" sebagai ikrar untuk menjadi suara masyarakat Sungai Bakap di dalam dewan undangan negeri (DUN).

“A pula merujuk kepada frasa ‘Amanah dan integriti’ meliputi aspek pemantauan projek, pengurusan berhemah dan laporan kepada rakyat.

“Ini bagi memastikan projek pembangunan kerajaan berjalan dengan berintegriti dan bebas rasuah, menguruskan dana awam dengan bijaksana dan menjalankan tanggungjawab dengan beramanah dan memberi laporan tahunan kepada rakyat Sungai Bakap,” jelas Muhammad Fauzi.

Dalam perkembangan itu Abidin pula berkata secara keseluruhannya manifesto itu adalah kesinambungan daripada usaha yang dilakukan bekas Adun Sungai Bakap Allahyarham Nor Zamri Latiff.

“Manifesto yang kita (PAS) buat ini kita dah buat cuma nak memperkukuhkan lagi yang mungkin ada kelompongan insya-Allah kita akan kemas kini,” katanya.

Untuk rekod pada PRK yang akan berlangsung 6 Julai ini menyaksikan Abidin bersaingan dengan calon PH Joohari Ariffin dalam persaingan satu lawan satu.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan selepas kematian penyandangnya Nor Zamri pada 24 Mei lalu.