Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengurangan hukuman: Najib dibenarkan respons tindakan Majlis Peguam

Mahkamah membenarkan Najib Razak memberi maklum balas berhubung permohonan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman oleh Majlis Peguam Malaysia untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas perdana menteri itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini membenarkan permohonan lisan oleh peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah agar bekas menteri kewangan itu dibenarkan memberi maklum balas berhubung tindakan undang-undang oleh Majlis Peguam ketika masih di peringkat permohonan kebenaran.

Di bawah undang-undang sivil, permohonan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman biasanya dilakukan secara ex-parte (hanya satu pihak hadir) semasa pendengaran tersebut, dan jika pihak lain hadir, kebiasaannya ialah Pejabat Peguam Negara (AGC) yang bertindak bagi pihak berkuasa yang disasarkan oleh semakan kehakiman tersebut.

Bagaimanapun, hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid hari ini membuat pengecualian untuk Najib, yang merupakan responden kedua dinamakan dalam semakan kehakiman Majlis Peguam untuk dibenarkan mengambil bahagian dalam prosiding tersebut (responden pertama ialah Lembaga Pengampunan, yang diwakili oleh AGC yang hadir hari ini).

Pagi ini, mahkamah sivil mendengar hujah lisan daripada peguam Majlis Peguam, Zainur Zakaria agar badan profesion undang-undang itu mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.

Di Malaysia, sesuatu pihak memerlukan kebenaran mahkamah sebelum ia boleh meneruskan pendengaran berdasarkan merit tindakan tersebut, untuk mengelakkan tindakan yang remeh dan menyusahkan.

"Selepas mendengar hujah lisan daripada peguam Najib, Shafee, saya dapati kes ini melibatkan kepentingan awam dan responden kedua dinamakan sebagai pihak terlibat.

"Sehubungan itu, kerana ini adalah peringkat kebenaran (semakan kehakiman) dan disebabkan kepentingan awam, saya menggunakan budi bicara saya untuk membenarkan responden kedua hadir dalam prosiding hari ini," kata Kamal.

Hakim kemudian memberi tempoh kepada Majlis Peguam dan AGC selama dua minggu untuk menyampaikan kertas kausa kepada pasukan peguam Najib dan memerintahkan bekas perdana menteri itu mengemukakan hujah balas bertulis sebelum 8 Ogos.

Kamal seterusnya mengarahkan Majlis Peguam dan AGC mengemukakan hujah balas bertulis mereka sebelum 9 September dan menetapkan 18 September untuk pendengaran permohonan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman tersebut.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili pihak Lembaga Pengampunan.

Cabar batal keputusan lembaga pengampunan

Pada April, Majlis Peguam memfailkan tindakan undang-undang untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara ke atas Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Pemohon meminta perisytiharan bahawa keputusan lembaga pada 29 Januari itu adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal, dan mahu mahkamah mengeluarkan perintah untuk membatalkannya.

Majlis Peguam memohon injunksi kekal untuk menghalang Najib daripada terus mengemukakan sebarang permohonan untuk pengampunan diraja, penangguhan atau penundaan melainkan bekas menteri kewangan tersebut memenuhi tiga syarat.

Ini termasuk “semua pendakwaan atau pertuduhan jenayah terhadapnya telah selesai, bahawa dia telah secara terbuka menerima tanggungjawab atas tindakannya yang mana dia disabitkan, dan dia telah menyatakan penyesalan dan kekesalan atas tindakannya”.

Menurut salinan afidavit sokongan untuk semakan kehakiman yang disahkan oleh setiausaha Majlis Peguam, Murshidah Mustafa, Majlis Peguam berpendapat bahawa Lembaga Pengampunan melalui pemberitahuan kenyataan akhbar mengenai keputusan itu pada 2 Februari, tidak memberikan sebab membuat keputusan kontroversi tersebut.

Majlis Peguam berpendapat Lembaga Pengampunan menyebabkan orang ramai tertanhya-tanya mengapa seorang bekas perdana menteri yang terlibat dalam “rompakan dana awam yang besar” mendapat pengurangan hukuman penjara dan lebih daripada tiga perempat pengurangan denda.

"Keputusan Lembaga Pengampunan yang tidak munasabah merupakan pengkhianatan terhadap keyakinan dan kepercayaan negara dalam penyiasatan, pendakwaan dan kehakiman berkenaan usaha mereka untuk membawa ke muka pengadilan seorang tokoh yang menyalahgunakan kedudukan jawatan tingginya secara korup.

"Keputusan Lembaga Pengampunan juga telah membawa nama buruk besar kepada Malaysia, dan merosakkan keyakinan pelabur," kata Murshidah.