Skip to main
Logo Malaysiakini

Kami cabar Lembaga Pengampunan, bukan kuasa Agong - Badan Peguam

Badan Peguam Malaysia berhujah bahawa tindakan mahkamah mereka terhadap pengurangan hukuman penjara ke atas Najib Razak bukannya mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya, permohonan kebenaran semakan kehakiman mereka hanya menyasarkan nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan, yang menurut perlembagaan perlu diikuti Seri Paduka Baginda.

Zainur Zakaria

Peguam Zainur Zakaria membuat hujahan lisan itu semasa prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman badan itu untuk mencabar nasihat Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara 12 tahun Najib kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Zainur berkata demikian ketika menjawab hujah oleh wakil Lembaga Pengampunan dari Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa kebenaran semakan kehakiman harus dinafikan kerana mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar kes yang melibatkan budi bicara  perlembagaan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan.

Zainur, bekas presiden Majlis Peguam, memberitahu mahkamah sivil bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan 1994 telah melucutkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan, dan sebaliknya memerlukan Seri Paduka mematuhi nasihat Lembaga Pengampunan.

“Lembaga Pengampunan hanya menawarkan nasihat. Seri Paduka Baginda terikat dengan nasihat mereka dan perlu bertindak mengikut keputusan (nasihat) itu.

"Kami (Badan Peguam) tidak mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam hal pengampunan tetapi sebaliknya, proses Lembaga Pengampunan," kata Zainur kepada hakim Ahmad Kamal Md Shahid.

Peguam itu merujuk kepada pindaan 1994 dalam Perkara 40(1a) Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan Seri Paduka Baginda bertindak atas nasihat apabila ingin melaksanakan kuasa perlembagaan baginda.

Sementara itu, peguam bersama Badan Peguam, Yeo Yang Poh berhujah bahawa kebenaran perlu diberikan untuk mendengar merit semakan kehakiman kerana perkara itu tidak pernah diputuskan di mahkamah di Malaysia sebelum ini.

Peguam itu berkata tindakan undang-undang berkenaan akan membolehkan Lembaga Pengampunan  mendedahkan jika terdapat alasan kukuh wujud di sebalik nasihat untuk mengurangkan hukuman Najib.

“Daripada menyerahkannya kepada imaginasi dan spekulasi rakyat seperti sekarang, jika mereka mendedahkannya kepada mahkamah, Badan Peguam ingin mendalami perkara ini demi kebaikan orang ramai,” kata Yeo.

Ahmad Kamal kemudian menetapkan 18 Sept untuk pendengaran lanjut mengenai perkara itu.

AGC dijangka mengemukakan bantahan terhadap tindakan undang-undang itu atas alasan ia melanggar kuasa budi bicara atau prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan.

Pada April lalu, Badan Peguam memfailkan cabaran undang-undang untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda ke atas Najib.

Mereka memohon pengisytiharan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Jan adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah, dan mahu perintah mahkamah berkaitan bagi membatalkannya.

Badan Peguam memohon injunksi kekal untuk menghalang Najib daripada terus mengemukakan sebarang permohonan untuk pengampunan atau penangguhan, melainkan bekas perdana menteri  kewangan itu memenuhi tiga syarat.

Ia termasuk "semua pendakwaan jenayah atau pertuduhan terhadapnya telah selesai dibicarakan, Najib secara terbuka menerima tanggung jawab atas tindakannya yang dia telah disabitkan, dan dia menyatakan keinsafan serta penyesalan atas tindakannya".

Najib, 70, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Dia kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

[Baca berita penuh]