Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Tugas ustaz bukan jaja kisah fantasi

KOMENTAR | Sudah bertahun-tahun kerenah ustaz  tersebar dengan pelbagai mitos dan dongeng. Kejadian ini ada sebab dan akibatnya. Cerita ustaz dengan kisah malam Jumaat ada khalayaknya.

Bagi masyarakat yang sedang menghadapi krisis akhlak dan moral, kisah terkait malam Jumaat adalah naratif pelaris bagi sesetengah ustaz.

Shahnon Ahmad pernah mendedahkan isu sebegitu melalui novel Tok Guru. Malam Jumaat adalah malam untuk tambah pahala. Malam Jumaat adalah malam menikmati syurga dunia.

Shahnon mencatatkan pengalamannya ketika menyertai sebuah kumpulan agama.

Sebagai manusia yang kononnya beriman teguh, seorang pendakwah akan mengalami ujian nafsu yang lebih hebat daripada orang lain. Seseorang isteri mustahil menundukkan nafsu insan beriman.

Nafsu ustaz perlu ditundukkan oleh beberapa isteri kerana godaan kepada seseorang pendakwah lebih kencang dan ganas daripada manusia biasa.

Maka bermulalah episod menambah isteri dalam kalangan pendakwah supaya jiwa mereka tenang untuk keluar berdakwah seperti ajaran tok guru dalam novel berkenaan.

Menunjukkan nafsu pendakwah

Shahnon menonjolkan watak pendakwah sekali gus 'pemburu syurga'. Tugas pendakwah adalah menunduk nafsu sekali gus membunuh syaitan yang sering mengganggu perjalanan berdakwah.

Menunduk nafsu adalah memelihara syahwat agar tidak tersasar.

Hubungan kelamin dan poligami kadang-kadang sengaja dikaitkan dengan usaha dakwah. Pendakwah yang baik kononnya akan memuaskan naluri  seksual terlebih dulu supaya jiwanya tenang ketika keluar berdakwah.

Poligami, seks dan dakwah yang bermain di bibir ustaz, tok guru, lebai, kiai atau seumpamanya dipanjangkan oleh Shahnon menerusi novel Ummi Dan Abang Syeikhul.

Naratif sebegitu sudah lama bertapak dalam masyarakat Melayu. Skandal seks dihalalkan menerusi poligami atas alasan untuk menundukkan nafsu yang mengganggu pendakwah.

Masyarakat Nusantara sudah lama mengenal kitab Tajul Muluk yang kononnya petunjuk alam berumah tangga. Petua menguatkan tenaga dalaman dikaitkan dengan seksualiti.

Mitos kekuatan dan dongeng agama mula tercabar apabila Portugis dan Belanda menguasai beberapa daerah Nusantara sekitar 1511.

Hampir 500 tahun  dikuasai bukan Islam menerusi teknologi dan peradaban baru yang lebih canggih, Nusantara dipecah perintah menjadi bahagian kecil.

Umat Islam yang gagal memperjuangkan nasib sendiri akhirnya pasrah dan mencipta alasan menanti ganjaran Allah di akhirat nanti. Mereka berdakwah dengan keyakinan Islam akan menang pada akhir zaman kerana janji Allah sentiasa tepat.

Umat yang lemah akan mempercayai dakyah ustaz walaupun sekadar bersandarkan kepada hadis daif dan riwayat tanpa perawi.

Dari sinilah muncul kekacauan sosial apabila ramai yang berebut-rebut menjadi ‘ahli agama’ atau ustaz selebriti yang nampaknya tugas mereka hanyalah menghiburkan hati yang lara.

Lontar ‘fatwa’ dan teori

Ada yang menyanyi dan berlawak di ruang solat masjid atas alasan dakwah. Ada yang jual minuman, makanan atau seumpamanya yang dinaikkan tarafnya dengan 'jampi' dan 'zikir'.

Ada juga yang kononnya memiliki kepakaran merawat penyakit dengan 'kaedah Islam' dengan bayaran yang lumayan. Jangan terperanjat apabila ada mangsa yang membuat laporan polis kerana dikenakan bil rawatan RM13,000 untuk pembedahan cara batin oleh ustaz selebriti.

Bumi yang sudah berusia 4.5 bilion tahun semakin membangun ketika segelintir umat Islam terus khayal menanti penyelamat akhir zaman.

Ramai pengikut yang berseronok dengan hujah seseorang ustaz walaupun kekalahan di Karbala sehingga kini gagal ditebus. Nasib umat Palestin di Gaza juga masih jauh daripada pembelaan apabila 40,000 nyawa terkorban.

Yang tewas itulah yang  sibuk menjerit dunia akhir zaman ketika pihak yang menang terus mencatur dunia dengan pelbagai peraturan dagang dan sistem kewangan.

Pada hari ini ramai pendakwah yang entah dari mana asal-usul pengajian mereka. Pelbagai fatwa dan teori yang dikaitkan dengan agama dilontar sewenang-wenangnya kepada pendengar.

Perpaduan kaum boleh diancam oleh isu agama yang gagal diuruskan dengan bijak. Apatah lagi apabila ketika ini sensitiviti kebanyakan orang mudah dibakar oleh media sosial.

Lebih malang kerana ketika ini sebahagian pendakwah bukan lagi menjadi penerus tarbiah Nabi Muhammad SAW sebaliknya gigih mengejar nama dan keuntungan peribadi.

Ramai juga yang membuka restoran berhawa dingin mengambil kesempatan ketika sebahagian umat Islam memboikot produk yang dikaitkan dengan Zionis.

Selagi umat Islam malas berfikir, kegiatan golongan bertopengkan Islam akan terus mereputkan masyarakat. Dr Mahathir Mohamad menerusi buku Menghadapi Cabaran pernah mengingatkan bahawa umat yang malas berfikir akan mudah diperalatkan.

Tanpa ilmu, Islam akan terus dijajah dan menjadi hamba kepada pihak lain. Umat Islam mundur kerana mereka silap mentafsir ajaran Islam.

Ketika mentadbir selama 22 tahun dulu Mahathir berdepan pelbagai ancaman daripada golongan yang dikatakan beragama.

Bukan sahaja terpaksa menangani Al-Arqam, ISIS dan Al-Maunah, dia juga berdepan pelampau agama sehingga berlaku peristiwa berdarah di Lubuk Merbau dan Memali pada 1985.

Islam adalah agama dakwah. Syeikh Muhammad al-Ghazali menyebut: Dakwah ialah satu program yang lengkap. Setiap peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat yang sebenar (Ma’a Allah Dirasat fi al-Da’wah wa al-Du’ah).

Pesanan Ghazali, pendakwah bukan sahaja mesti berilmu bahkan perlu cerdik menangani suasana di hadapannya.

Dalam konteks semasa, ustaz bukan sekadar jual air jampi dan cerita malam Jumaat. Tugas mereka jauh lebih daripada itu, yakni menjadi pencelik zaman. Ramaikah ustaz yang sedar peranan sebenar itu?


IMLAN ADABI ialah wartawan dan sasterawan sejak 1980-an.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.