Skip to main
Logo Malaysiakini

Veterinar: Ladang ternakan besar punca serangan lalat di Sg Bakap

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

PRK SG BAKAP | Masalah serangan lalat di beberapa kawasan di Sungai Bakap, Pulau Pinang adalah berpunca daripada penternak berskala besar, menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab.

Saira berkata masalah itu memburuk apabila tiba waktu ayam ternakan untuk dijual - dengan kira-kira 100,000 ayam disembelih dalam satu masa, seterusnya menyebabkan serangan lalat, terutama selepas proses pembersihan.

"Saya rasa masalah lalat yang bermusim ini bukan daripada penternak kecil, tetapi kebanyakannya daripada penternak besar, terutama apabila ayam cukup tempoh untuk dijual.

"Semasa mereka membuat penangkapan ayam untuk dinaikkan ke atas lori, biasanya mereka akan menyembur air, jadi basahlah. Itu salah satu sebab berlakunya serangan lalat," katanya ketika sidang media di sebuah ladang ternakan di Sungai Bakap, semalam.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan berkenaan masalah serangan lalat yang sekian lama menghantui penduduk di kawasan sekitar, yang dikaitkan dengan faktor cuaca serta datang daripada ladang ayam dan babi berhampiran.

Di Sungai Bakap, terdapat sekurang-kurangnya 115 ladang berdaftar di bawah agensi kerajaan negeri yang terdiri daripada ladang ternakan ayam dan itik.

Bagaimanapun, angka itu mungkin tidak menunjukkan skala sebenar kegiatan penternakan di sana.

Mengulas lanjut, Saira menegaskan kerajaan negeri telah melaksanakan garis panduan yang ketat bagi operasi ladang ternakan.

Katanya, untuk mendapat lesen, penternak perlu memiliki sekurang-kurangnya 10,000 haiwan ternakan.

Dia berkata peraturan berkenaan perkara itu digariskan dalam Enakmen Perladangan Unggas (Pulau Pinang) 2020 dan Peraturan-peraturan Pengawalan Unggas (Negeri Pulau Pinang) 2022 - yang berkuat kuasa pada 1 Januari lali

Ditanya berkenaan kekerapan jabatannya membuat pemantauan, Saira berkata pasukannya bertindak berdasarkan laporan yang diterima.

"Kita belum sampai tahap untuk meminta mereka menutup ladang sebab mereka pun nak mencari rezeki.

"Asalkan mereka menternak di kawasan yang jauh sedikit dengan penduduk atau perumahan, dan mereka memastikan semburan atau penggunaan mikroorganisme efektif (EM) dan kawasan itu tidak mempunyai kawasan bertakung atau najis yang basah yang boleh menyebabkan masalah lalat," katanya lagi.

Penternak kecil

Ditanya jika jabatannya ada mengenal pasti penternak kecil yang mungkin tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, Saira berkata dia belum ada maklumat berkenaannya.

Dia bagaimanapun berkata penternak kecil dinasihati untuk menggunakan sistem ladang tertutup, namun maklum mereka mungkin belum mampu untuk melaksanakannya.

"Kalau bawah 10,000 (ternakan), memang tak sesuai untuk kita nak minta mereka buat sistem tertutup sebab kosnya menelan jutaan ringgit.

"Sebab itu kita nasihatkan mereka untuk tumpu kepada penyelenggaraan secara kerap," katanya lagi.

Fahmi Zainol ketika melawat ladang ternakan ayam

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata kerajaan negeri merancang untuk menambah baik bidang ternakan dan menangani masalah seperti serangan lalat.

Fahmi berkata, pengusaha ternakan ayam di Pulau Pinang, terutama di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang mempunyai ternakan melebihi 20,000 ekor, diberi tempoh hingga 31 Dis ini untuk beralih kepada sistem reban tertutup.