Skip to main
Logo Malaysiakini

Gubal 'Lemon Law" lindungi pembeli kenderaan antara tumpuan Dewan Rakyat

PARLIMEN | Cabaran dalam menggubal undang-undang 'Lemon Law' bagi melindungi pengguna dalam urusan pembelian kenderaan antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada era 1960an, kereta baru yang rosak atau tidak berfungsi mula dirujuk sebagai "Lemon" di AS dan UK.

Lemon Law menyediakan remedi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan pampasan bagi produk yang gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada sesi Soal Jawab Lisan.

Shamshulkahar ingin tahu tahap kerjasama yang diberikan pemain industri terhadap cadangan pengenalan undang-undang berkenaan.

Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) pula meminta penjelasan Menteri Pertahanan sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk mengkaji semula lokasi kem-kem tentera sedia ada yang jauh dari sempadan Malaysia-Thailand ke lokasi lebih strategik.

Pada sesi sama, Chong Zhemin (PH-Kampar) meminta penjelasan Menteri Komunikasi berkenaan status terkini pelaksanaan 5G dwirangkaian dan jumlah pegangan ekuiti yang akan dilepaskan Digital Nasional Bhd kepada syarikat telekomunikasi setelah pelaksanaan projek itu selesai kelak.

Usai sesi itu, Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan bagi usul Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 yang dibacakan buat kali kedua semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga dijadual membacakan buat kali kedua Rang Undang-Undang Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024.

- Bernama