Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Scammer’ tipu bekas timbalan menteri dengan projek tak wujud

Hari demi hari, pelbagai jenis penipuan kewangan didedahkan. Bagaimanapun, si penipu juga semakin bijak memperdaya mangsa.

Terbaru, muncul pendedahan berkaitan penipuan berkaitan kontrak pembinaan sebuah lebuh raya–yang sebenarnya tidak wujud–sehingga menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit.

Penipuan ini begitu terancang dan ‘meyakinkan’ sehingga seorang bekas timbalan menteri juga terpedaya susulan kertas kerja projek yang terperinci.

Malah, penipu turut menjual nama seorang ‘sepupu’ Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dikatakan sebagai pemilik syarikat kontraktor bagi projek itu.

"Ini adalah projek kerjasama antara syarikat swasta dan Kementerian Kewangan (MoF). Pemilik syarikat pemaju adalah sepupu PMX". 

Di atas adalah dialog yang digunakan pemaju kepada mangsa, iaitu pemilik syarikat keselamatan yang kononnya diperlukan bagi menjaga barang-barang binaan.

Beberapa pemilik syarikat keselamatan, termasuk bekas timbalan menteri BN, mendedahkan perkara itu kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Mereka enggan mendedahkan nama masing-masing kerana malu.

Timbalan menteri ketika kepimpinan Najib Razak itu berkata dia membuat bayaran RM250,000 untuk “yuran komitmen perolehan” yang akan dikembalikan.

"Sebenarnya, anak saya yang membuat bayaran itu tanpa berbincang dengan saya. 

“Namun, kemudian saya mendapati projek itu tak muncul di mana-mana," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, projek yang dikatakan akan bermula pada 2022 itu akhirnya tidak pernah menjadi kenyataan.

Cadangan projek itu tidak pernah dilaporkan sebarang media. 

Mengikut ‘kertas cadangan’ terperinci 69 halaman yang dilihat Malaysiakini, ia didakwa sebagai inisiatif dana swasta dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF).

Cadangannya adalah membina lebuh raya daripada Padang Besar, Perlis hingga Changkat Jering, Perak sepanjang 276km selama enam tahun.

Namun, sumber dalaman MoF, Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) memberitahu portal ini bahawa projek itu sebenarnya tidak wujud.

Sumber MOF berkata idea itu mungkin dicuri dan diubah suai daripada  projek Lebuh Raya Koridor Utara (NCH) yang juga dari Padang Besar ke Changkat Jering.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim menafikan MoF terlibat dalam sebarang projek pembinaan lebuh raya.

"Tak betul. Tidak wujud. Jangan sesekali terpedaya dengan helah pihak-pihak begini.

"Amalkan untuk semak secara langsung dengan pihak kementerian. Dan buat laporan polis terhadap pihak tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Syarikat itu milik seorang individu yang menggunakan gelaran 'Datuk Seri'.  Namun, carian di semakan darjah kebesaran menunjukkan dia tidak pun dianugerahkan dengan gelaran itu.

Nama individu juga hampir sama, cuma ejaan berbeza, dengan seorang bekas pemimpin PKR yang sering dikatakan sebagai sepupu Anwar.

Malaysiakini telah menghubungi syarikat pemaju tersebut melalui panggilan telefon, e-mel dan surat berdaftar tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Sementara itu, seorang pengarah syarikat pengawal keselamatan dari Melaka berkata bahawa dia membuat bayaran sebanyak RM750,000 untuk memastikan mendapatkan kontrak perkhidmatan pengawal keselamatan.

Katanya, dia diberitahu projek yang dikatakan bermula pada 2022 itu memerlukan lebih 700 pengawal keselamatan, yang dibahagi kepada empat zon sepanjang projek berjalan.

"Syaratnya, syarikat kami perlu membayar RM300,000 sebagai commitment procurement fees (untuk satu zon) untuk memastikan kontrak keselamatan diberi kepada yang membayar wang tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Syarat itu dinyatakan dalam surat tawaran daripada syarikat pemaju tersebut bertarikh 9 Ogos 2023.

Sementara itu, seorang lagi pengarah syarikat keselamatan berkata dia membayar RM300,000.

"Malah, saya tertarik apabila dia orang berkata pengerusi eksekutif syarikat pemaju in adalah sepupu perdana menteri,” katanya.

Menurut mereka, ramai lagi individu tertipu dengan projek tidak wujud ini dan ada yang membuat laporan polis.

Namun, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana mangsa yang ditemui enggan berbuat demikian kerana masih berharap mendapat semula wang mereka.


MAIN PERMAINAN: Bolehkah anda terlepas dari scam dalam talian?