Pakar saran k'jaan tambah jumlah kolej matrikulasi
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad mencadangkan agar kerajaan menambah jumlah kemasukan pelajar dan tempat kolej matrikulasi.
Ini susulan jaminan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas tanpa mengira kaum akan mendapat tempat di kolej matrikulasi.
Anuar yang juga pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti UKM berkata kerajaan boleh mengubah beberapa cawangan kolej tingkatan enam sedia ada untuk menjadi cawangan baru kolej matrikulasi.
“Hal ini dapat dilakukan jika kolej matrikulasi yang ada sekarang tidak mencukupi untuk menampung pertambahan bilangan pelajar, apabila mereka yang 10A diberi jaminan untuk diterima,” katanya.
Jelas Anuar tidak timbul isu hak orang bumiputera dinafikan kerana kerajaan masih mengekalkan kouta pecahan pelajar ke matrikulasi sejak 2003.
“Berdasarkan apa yang disebut perdana menteri, pecahan kuota pelajar itu adalah kekal cuma bilangan pelajar sahaja yang bertambah.
“Maka saya membayangkan jika bilangan 10 peratus kepada bukan bumiputera untuk matrikulasi bertambah, maka bilangan 90 peratus kepada bumiputera juga akan bertambah,” katanya.
Menurut Anuar lagi pengumuman ini akan memberi tekanan kepada pelajar bumiputera untuk semakin berdaya saing dengan pelajar bukan bumiputera yang mendapat 10A.
“Pelajar bumiputera, tidak lagi akan berasa selesa serta akan lebih berusaha keras mendapat 10 A untuk mendapat jaminan ke matrikulasi.
"Ibu bapa juga akan mengubah ‘mindset’ dalam mendorong anak mereka supaya lebih bersungguh-sungguh,” katanya.
Anwar hati-hati laksana reformasi
Pada Ahad lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan lepasan SPM semua kaum yang mendapat 10A dan ke atas akan diberi peluang menyertai program matrikulasi.
“Jadi kerajaan memutuskan semua lepasan SPM yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan India serta lain-lain harus diberikan jaminan tempat oleh kerajaan.
"Ini adalah satu keputusan berani yang dibuat Kerajaan Madani," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pensyarah sains politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid melihat pengumuman perdana menteri satu bukti kerajaan masih serius melaksanakan reformasi keadilan buat semua kaum dengan lebih berhati-hati.
“Anwar banyak berkata bahawa reformasi akan terus berjalan namun tidak akan dilaksanakan dengan tergopoh gapah. Keputusan ini adalah bukti bahawa beliau ingin menepati kata-katanya.
“Saya melihat kerajaan Madani ini berusaha melaksanakan reformasi dengan menjaga sentimen kaum majoriti dan minoriti,” katanya kepada Malaysiakini.
Fauzi turut melihat pengumuman ini boleh mengembalikan keyakinan kaum bukan bumiputera terhadap reformasi Anwar yang ingin membina negara lebih inklusif dan progresif buat semua kaum.
Aktivis tuntut penjelasan
“Apa yang penting jentera penerangan kerajaan boleh menyampaikan mesej ini kepada orang bukan Melayu,” katanya.
Sementara itu, aktivis pelajar pula mahu kerajaan memberi penjelasan terperinci pelaksanaan polisi kemasukan ke kolej matrikulasi ini agar ia tidak menjejaskan mana-mana pihak.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menegaskan proses perlaksanaan polisi baru ini jangan sesekali mengganggu gugat kuota bumiputera.
Utamakan B40 bukan ‘maha kaya’
Presidennya Muhd Fazreen Ismadi Fauzi menuntut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan mekanisme yang akan digunakan untuk proses saringan serta jumlah pelajar yang akan diterima masuk ke program matrikulasi.
“Penjelasan ini penting untuk memastikan proses pemilihan adalah adil dan tidak meminggirkan mana-mana pihak terutama golongan kurang berkemampuan serta jaminan terhadap kuota bumiputera,” katanya.
Fazreen juga meminta KPM menyatakan statistik sebenar mengenai jumlah pelajar yang mendapat keputusan 10A dan ke atas mengikut kaum demi menjamin ketelusan.
Dalam pada itu, Pengerusi Mahasiswa PKR Yuveraaj Pillai Kalidasan berkata lepasan SPM yang mendapat 10A daripada keluarga B40 hendaklah diberi jaminan tempat ke program matrikulasi.
Sebaliknya, dia menegaskan lepasan SPM yang termasuk golongan 'maha kaya' tidak patut mendapat tempat ke kolej matrikulasi.
“Saya berharap dan menggesa agar pengambilan pejajar yang memperolehi 10A ke atas akan mengambil kira latar belakang pelajar tersebut biarpun dia minoriti.
“Bukan Melayu yang berada dalam golongan T10 tak wajar diberikan keutamaan meskipun dapat 10A,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai