Skip to main
Logo Malaysiakini

PAC syorkan KDN tandatangan kontrak FWCMS

PARLIMEN | Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan Kementerian Dalam Negeri dan Bestinet Sdn Bhd memuktamadkan segera perjanjian penggunaan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata KDN juga perlu memastikan semua perolehan berkaitan teknologi maklumat pada masa hadapan mesti dirujuk kepada garis panduan sedia ada yang dikuatkuasakan oleh Agensi Digital Kebangsaan.

“PAC turut mendapati bahawa kontrak FWCMS belum dimuktamadkan dan ditandatangani antara kerajaan dan vendor walaupun Surat Setuju Terima (SST) bagi pembangunan sistem FWCMS telah dikeluarkan pada 12 Januari 2018 sehingga tarikh prosiding terakhir PAC, 13 Mac 2024.

“Ini bermakna kerajaan atau KDN menggunakan sistem FWCMS selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan dan ini jelas melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan,” kata Mas Ermieyati.

Menurut Mas Ermieyati Samsudin perkara itu antara hasil siasatan berhubung Laporan Pengurusan Pekerja Asing Melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan FWCMS di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) serta KDN yang dibentangkan hari ini.

PAC telah mengadakan empat prosiding pada 5 Disember 2023 dan 22 Januari serta 13 Mac lalu berhubung isu berkenaan.

Mas Ermieyati berkata antara saksi terlibat prosiding terbabit terdiri daripada Jabatan Audit Negara, KDN, Kesuma, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan vendor sistem FWCMS, syarikat Bestinet Sdn Bhd.

Jelasnya, melalui prosiding yang diadakan telah mendapati Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Ogos 2015 telah meluluskan pembangunan sistem ePPAX dan FWCMS iaitu dua sistem yang sama berkonsepkan single window.

"Ini sekali gus berlakunya pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing dan pembaziran wang awam," katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata PAC turut mendapati wujudnya kelemahan dalam pengurusan kawalan Identification (ID) dalam sistem FWCMS yang mana terdapat dua ID dipegang oleh bukan pegawai Kesuma manakala terdapat 24 unauthorised user yang telah pun meluluskan 24 permohonan majikan.

“Kes ini telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya satu siasatan dijalankan,” katanya.

Laporan PAC yang dikeluarkan hari ini turut memberi syor-syor lain untuk diambil sebagai tindakan pembaikan berhubung isu berkenaan.

“KDN juga hendaklah membetulkan kecelaruan yang berlaku dalam proses perolehan dan mencari jalan penyelesaian dengan segera serta KDN dan Kesuma perlu bekerjasama merangka pelan strategik yang menyeluruh berhubung pengurusan pekerja asing dan tidak terhad kepada pembangunan sistem semata-mata.

“Seterusnya, kedua-dua kementerian perlu memastikan tiada lagi pertindihan fungsi sistem yang dibangunkan mengakibatkan pembaziran wang awam dan PDRM perlu memaklumkan perkembangan terkini terhadap siasatan 24 permohonan kuota pekerja asing yang telah diluluskan oleh unauthorised user seperti dilaporkan oleh Kesuma,” katanya.

[Baca berita asal]