Skip to main
Logo Malaysiakini

Matrikulasi: Kerajaan utamakan kuota berbanding meritokrasi, kata Zaid

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim membidas kerajaan kerana mengutamakan sistem kuota yang kontroversi berbanding meritokrasi dalam sistem pendidikan negara.

Dia mengulas pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim Ahad lalu bahawa pelajar daripada semua kaum yang mendapat 10A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diberi peluang menyertai program matrikulasi.

Gambar Hiasan - Anwar bersama pelajar UiTM

“Cara kerajaan Madani menangani isu matrikulasi tidak memberi keyakinan kepada rakyat bahawa ia mampu menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan.

"Kenyataan pemimpin mengenai matrikulasi menunjukkan bahawa mereka tidak bersedia untuk memberikan meritokrasi tempat yang sepatutnya dalam sistem pendidikan kita," kata Zaid dalam satu catatan di X pagi ini.

Ketika membuat pengumuman itu, Anwar turut menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak akan menjejaskan keistimewaan bumiputera mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas kenyataan berkenaan, Zaid berkata sistem kuota dan Perkara 153 tidak akan mengubah profil ekonomi negara, kerana ia hanya akan mengeluarkan lebih ramai individu muda dan golongan tua yang tidak mahir dalam ekonomi gig.

"Tempat kerja ini adalah di mana tiada kemahiran baharu tambahan boleh diajar, justeru, gaji sukar dinaikkan untuk menampung kos sara hidup.

Gambar Hiasan

"Kami tidak akan mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dengan set kemahiran berasaskan sains dan teknologi untuk mempunyai Pelan Induk Perindustrian. Kuota dan 153 tidak akan membantu kekurangan ini," kata Zaid.

Dia seterusnya menuduh pemimpin negara hari ini sibuk dengan dasar diskriminasi, dengan bukan bumiputera diingatkan mereka akan hanya diberikan tempat di matrikulasi sekiranya mendapat keputusan cemerlang, dan fasih berbahasa Melayu, manakala tiada syarat sama ditetapkan untuk bumiputera.

Walaupun Zaid tidak menyebut nama, ini jelas merujuk kepada Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang mencadangkan tambahan kuota bumiputera selaras dengan peruntukan tambahan untuk pelajar bukan bumiputera di bawah dasar baharu itu.

Dr Akmal Salleh

Selain itu, Dr Akmal turut menegaskan bahawa pelajar bukan bumiputera yang diterima masuk ke matrikulasi mesti fasih berbahasa Melayu.

Sementara itu, Muda mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk memberi akses sama rata kepada penempatan matrikulasi bagi pelajar bukan bumiputera yang mendapat markah tinggi.

Parti berasaskan belia itu berkata kerajaan bagaimanapun perlu menangani beberapa soalan terlebih dahulu bagi memastikan dasar itu dilaksanakan dengan lancar.

“Bagaimana kerajaan bercadang melaksanakan dasar menjamin penempatan matrikulasi kepada semua pelajar SPM dengan 10A atau lebih, tanpa menjejaskan sistem kuota bumiputera sedia ada?

"Adakah kerajaan membuat pertimbangn itu berdasarkan kuota bukan bumiputera pada jumlah kapasiti program matrikulasi, dan bukannya 10 peratus kemasukan sebenar sekarang?" soal Ketua Penerangan Muda Leben Siddarth dalam satu kenyataan hari ini.

Leben Siddarth

Dia seterusnya menggesa kementerian pendidikan dan pengajian tinggi supaya memberikan butiran lanjut mengenai dasar baharu itu bagi memastikan pelaksanaannya konsisten dengan pengumuman perdana menteri.

Terdahulu, Leben menyifatkan langkah itu sebagai langkah penting ke arah memastikan keadilan dan akses kepada pendidikan tinggi.

Dia berkata pembaharuan itu akan membantu merungkai ketidaksamaan sistemik dalam landskap pendidikan negara.

“Walaupun keputusan ini merupakan langkah positif, Muda menekankan pendekatan yang lebih komprehensif dan jangka panjang diperlukan untuk menangani ketidaksamaan yang berakar umbi dalam sistem pendidikan.

"Kerajaan harus membangunkan sistem pendidikan yang mampan dan saksama yang menyediakan peluang sama rata kepada semua pelajar, tanpa mengira latar belakang atau status sosioekonomi mereka," katanya.

[Baca berita penuh]