Skip to main
Logo Malaysiakini

Trend sokongan di Sg Bakap berpihak kepada PH - Ide

PRK SG BAKAP | Kaji selidik dijalankan Institut Darul Ehsan (Ide) mendapati trend sokongan pengundi di DUN Sungai Bakap berpihak kepada calon PH, Dr Joohan Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung Sabtu ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Ide, Profesor Dr Mohammad Redzuan Othman berkata sokongan kepada sesebuah parti tidak semestinya memberi kemenangan kepada calon parti itu.

"Saya nak sebut berdasarkan kajian yang dilakukan bahawa trend atau sokongannya memang berpihak kepada PH atau Kerajaan Perpaduan.

"Tetapi, saya nak tegaskan sokongan ini bergantung kepada baki empat hari kempen ini. Kedua-dua parti melakukan strategi mereka dan sokongan kepada parti tidak semestinya menjadi kemenangan," katanya pada sidang media analisis Survei Landskap Persepsi Rakyat Menjelang PRK DUN Sg Bakap di Shah Alam hari ini.

Menurutnya, kaji selidik oleh badan pemikir kerajaan Selangor yang diterajui kerajaan PH itu dijalankan terhadap 786 responden selama empat hari bermula 19 Jun sehingga hari penamaan calon lalu.

"Berdasarkan kajian, sokongan pengundi kepada gabungan PH/BN adalah 53.2 peratus dan kepada PN adalah 43 peratus dan atas pagar atau masih tidak membuat keputusan sebanyak 3.8 peratus.

"Sementara sokongan pengundi Melayu kepada calon Perpaduan ialah 36 peratus. Namun, saya nak beritahu sokongan kepada parti tidak bermakna mereka akan mengundi kepada calon parti itu," katanya.

PH perlu 4% sokongan Melayu

PRK DUN Sungai Bakap itu diadakan selepas kematian penyandangnya daripada PAS, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Calon PH, Joohari berdepan saingan calon PN Abidin Ismail pada 6 Julai nanti.

Sementara itu, Redzuan berkata Joohari memerlukan peningkatan 4 peratus dalam sokongan orang Melayu untuk merampas semula kerusi tersebut daripada PN.

Katanya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, calon PH, Nurhidayah Che Rose memperolehi 32 peratus sokongan pengundi Melayu apabila Allahyarham Nor Zamri memenangi kerusi itu dengan 1,563 undi.

"Dengan ramalan peratus keluar mengundi pada kadar 60 peratus, PH memerlukan 36 peratus undi Melayu untuk menang," katanya.

Katanya, PH juga mesti mendapat peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam kalangan pengundi Cina dan India jika mahu mengalahkan PN.

Tambahnya, tinjauan menunjukkan sokongan PH dalam kalangan pengundi Cina dan India masing-masing ialah 82 peratus dan 77 peratus.

Namun, katanya tinjauan juga menunjukkan PN mungkin dapat mengekalkan kerusi itu dengan majoriti tipis sekiranya jumlah peratus mengundi melebihi 70 peratus.

"Ini kerana sokongan pengundi Cina kepada PH kekal tetapi sedikit kritikal dengan peratus keluar mengundi.

"Faktor kekuatan calon pula dilihat seimbang selepas kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing.

"Joohari dikenali sebagai berpendidikan dan calon daripada parti yang disokong oleh pengundi, sementara Abidin lebih dikenali di kalangan pengundi dan dilihat sebagai seorang agamawan kerana daripada parti PAS," katanya.

Seramai 39,279 pengundi Sg Bakap layak mengundi pada PRK ini yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.