Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahmad mahu orang Sg Bakap keluar beramai-ramai Sabtu ini

PRK SG BAKAP | Lebih 38,000 pengundi berdaftar di Sungai Bakap digalakkan memanfaatkan cuti hujung minggu mereka untuk keluar mengundi Sabtu ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan, berkata langkah itu digerakkan bagi memastikan peratusan keluar mengundi kali ini lebih tinggi berbanding yang dicatatkan ketika pilihan raya negeri (PRN) kira-kira 11 bulan lalu.

“Pada PRN lalu, peratusan keluar mengundi di kawasan DUN Sungai Bakap mencatatkan 77 peratus.

"Di KKB (Kuala Kubu Bharu), semasa pilihan raya negeri mencatatkan peratusan 68 peratus, namun semasa PRK ia menurun tujuh peratus apabila peratusan keluar mengundi hanya 61 peratus.

“Jadi, kita harap di Sungai Bakap, apatah lagi pengundi luar kawasan dalam kawasan Pulau Pinang (sahaja), mereka boleh keluar mengundi dengan mengambil kesempatan cuti panjang pada Sabtu, Ahad, dan Isnin (cuti umum Awal Muharam) untuk pulang ke kampung halaman mereka (untuk mengundi)," katanya.

Ahmad yang juga timbalan menteri kerja raya berkata demikian kepada wartawan semasa melawat pusat media di Kompleks Rakan Muda Jawi, di Nibong Tebal, hari ini.

Kenyataan tersebut dilihat selaraas dengan laporan yang memetik sumber PKR mendakwa mengikut perkiraan PH, peluang mereka untuk menang adalah lebih cerah jika peratusan keluar mengundi tinggi.

Portal berita Free Malaysia Today melaporkan bahawa sumber terbabit berpendapat PN sangat dominan menarik sokongan pengundi muda, justeru PH bergantung kepada pengundi berumur 30 tahun ke atas untuk keluar dan melaksanakan hak mereka pada Sabtu ini.

Sementara itu calon PH Joohari Ariffin juga senada dengan Ahmad apabila berharap pengundi Sungai Bakap keluar seramai mungkin untuk memilih pada Sabtu nanti.

Dia yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Joohari memberitahu Malaysiakini, pasukan kempen parti dalam kerajaan juga menasihatkan pengundi di situ memaklumkan anak masing-masing yang berada di luar kawasan agar balik meungkin.

"Kita nak (tingkatkan) kesedaran masyarakat sekarang ni.

"Apabila nak melantik pemimpin, kita kena betul-betul serius nak cari pemimpin (sebenar), jadi biar penglibatan itu seramai yang mungkinlah," katanya.

PRK Sungai Bakap yang akan berlangsung 6 Julai ini dan menyaksikan Joohari menghadapi saingan daripada calon PN Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya menggunakan daftar pemilih yang dikemas kini sehingga 24 Mei lalu. Terdapat seramai 39,279 pemilih untuk Sungai Bakap, termasuk 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan selepas kematian penyandangnya Nor Zamri pada 24 Mei lalu.

Dalam PRN Ogos tahun lalu Nor Zamri merampas kerusi tersebut daripada PH dengan majoriti 1,563 undi selepas dia menewaskan Norhidayah Che Rose.