Skip to main
Logo Malaysiakini

Pekan Sg Bakap saksi bisnes dihimpit kemajuan, isu banjir

PRK SG BAKAP | Di tengah kerancakan kempen politik dan mencari sokongan, peniaga dalam kawasan Sungai Bakap mendapat sedikit kelegaan apabila kawasan itu menjadi tumpuan ramai sejak dua minggu lalu.

Namun hakikatnya, Sungai Bakap pada hari-hari biasa ialah hanya sebuah pekan yang kian dimamah sepi. Malah pada waktu malam, kawasan itu boleh dianggap sebagai ‘pekan mati’.

Sebuah pekan lama yang membentuk acuan perpaduan antara kaum sejak puluhan tahun itu kini ‘terancam’ dengan pembangunan pesat kawasan di sekelilingnya.

Deretan bangunan rumah kedai lama terbiar tanpa mendapat nafas baru dan ia menjadi isyarat betapa sebuah pekan yang menjadi saksi keharmonian penduduknya sejak puluhan tahun lalu, kini semakin hilang daya saingnya.

Tinjauan Malaysiakini mendapati rata-rata peniaga di kawasan itu mengeluh kerana perniagaan mereka semakin merosot atas pelbagai faktor.

Bagaimanapun mereka masih cekal bertahan untuk meneruskan perniagaan yang kebanyakannya diwarisi daripada keluarga atau orang tua masing-masing.

Buat masa ini mereka boleh dianggap masih bernasib baik kerana kadar sewaan rumah kedai masih murah, selain tiada kenaikan kos lain kecuali tarif bekalan air yang kini meningkat.

Selain itu terdapat juga peniaga yang terpaksa mencari jalan untuk menambah pendapatan termasuk dengan mempelbagaikan barang yang ditawarkan.

Misalnya, mereka menjual durian.

Peniaga kedai runcit Tang Kok Siang, 52, berkata perniagaannya memang terkesan khususnya selepas pandemik Covid-19.

Namun katanya, dia bernasib baik kerana mewarisi rumah kedai yang ditinggalkan ayahnya sekitar 10 tahun lalu, sekali gus meletakkan dia tidak dibenani kos sewa kedai.

Tang Kok Siang

“Dalam keadaan sekarang berniaga memang sangat perlahan, saya cuma bertahan untuk hidup dan cukup makan saja pada setiap bulan.

“Boleh tanya peniaga lain di sini macam mana keadaan kami. Pelanggan semakin kurang datang ke ssini.

"Kalau dulu kami boleh tutup kedai jam 10 malam, sekarang jam 8 malam sudah tutup sebab tak ada orang,” katanya ketika ditemui Malaysiakini hari ini.

Tambah Tang, sekarang persaingan semakin besar dan pada masa sama harga barangan pula kian meningkat.

Keadaan itu, katanya, memaksa dia hanya menjual barangan keperluan yang memang atau sering mendapat permintaan.

"Kalau dulu ada penuh barang dalam kedai saya, sekarang dah berbeza," katanya.

Bertahan selagi mampu

Pekan Sungai Bakap terletak di sebatang jalan yang menjadi perantara rumah-rumah kedai. Suatu masa dahulu ia menjadi tumpuan penduduk setempat dan merupakan jalan utama menghubungkan kawasan sekitar.

Di situ juga terletak pasar awam, selain tidak jauh daripada hospital serta klinik kesihatan.

Menurut Tang, keadaan sekitar mula berubah selepas jalan raya baru dibina kerana keperluan dan pembangunan.

“Tetapi saya bahagia tinggal di sini kerana kami dipupuk dengan semangat perpaduan yang tinggi antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Sebab itu saya pertahankan perniagaan ini dan akan teruskan selagi mampu,” katanya.

Ng Poo Puan

Ng Poo Puan, 78, yang juga berniaga barangan runcit turut mengakui perniagaannya semakin suram sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, kos modal yang semakin tinggi serta mata wang Malaysia tidak kukuh mungkin menjadi faktor perubahan tersebut, selain pengaruh kewujudan kedai-kedai baru.

“Saya rasa tak boleh bertahan (lama) lagi, umur saya pun dah lanjut dan boleh kerja kuat sangat.

“Setakat ini saya cuba bertahan saja sebab sewa kedai masih murah iaitu RM500 sebulan.

"Pada masa sama ada semakin banyak kedai atau pasar raya baru dibuka dan kami tak boleh lawan depa (mereka),” katanya.

Tak lagi ramai datang

Peniaga peralatan sembahyang, Tan Choon Looi, 43, turut mengakui perniagaan warisan keluarganya terjejas sejak kebelakangan ini.

Selain bersaing dengan kewujudan kedai-kedai baru, katanya, pasaran perniagaannya juga diancam oleh kencederungan masyarakat yang semakin beralih kepada urusan jual beli dalam talian.

“Pasaran online semakin berkembang, jadi peniaga seperti kami terkesan.

"Memanglah saya masih boleh bertahan dengan pendapatan tak terbatas, namun itu sebab saya cuma berdua dengan suami, maka tak banyak sangat kos ditanggung.

"Suami saya pun ada kerja. Selagi boleh bertahan saya akan terus berniaga walaupun untung tak macam dulu,” katanya yang mengambil alih perniagaan ayahnya sejak lapan tahun lalu.

Sementara itu seorang peniaga kedai serbaneka yang hanya mahu dikenali sebagai Toh, 65, turut mengakui dia tidak lagi menambah stok barangan dengan kuantiti yang banyak.

Berniaga sejak sekitar 30 tahun lalu, jelas Toh, dia juga berdepan kerugian kerana banyak barang jualan rosak akibat banjir kilat melanda kawasan itu.

“Jualan kami sekarang sudah slow (perlahan), tak ramai orang datang berbelanja di pekan ini lagi. Memang sangat terjejas sebab banyak kedai dan pasar raya baru buka sekitar sini.

Depa syarikat besar banyak kedai (cawangan) mungkin boleh jual harga lebih murah tapi kami di sini teruk sebab ada banjir kilat, air masuk ke kedai kalau hujan lebat dalam 15 minit saja.

"Banyak barang jualan saya rosak kena buang,” katanya yang mendakwa banjir berlaku kerana masalah sistem perparitan.

Bagi Kuek Non Yap, 67, yang menjalankan perniagaan pakaian, dia turut terkesan dengan kewujudan pasaran moden yang menjejaskan perniagaannya.

Dia kini turut menjual buah durian di kedainya untuk menambah pendapatan harian.

“Sekarang saya niaga durian juga, kami ada pajak kebun durian dan jual di sini. Orang ramai sikit pada waktu pagi saja sebab datang ke pasar.

“Perniagaan saya memang semakin teruk, banyak persaingan dan kawasan ini bukan jadi tumpuan utama lagi,” katanya.

Sempena kempen PRK Sungai Bakap yang akan diakhiri hari pengundian pada 6 Julai ini, rata-rata peniaga di pekan Sungai Bakap itu berharap permasalahan mereka mendapat perhatian wakil rakyat atau pihak berkuasa.

Kebanyakan mereka enggan mengulas berhubungi isu-isu politik namun sangat berharap kawasan pekan lama itu diberikan nafas baru untuk menyuntik daya saingan dan tumpuan masyarakat.

Pada PRK kali ini menyaksikan calon PH mempertaruhkan Joohari Ariffin berdepan saingan calon PN Abidin Ismail.

Ia diadakan susulan kematiannya wakil rakyatnya Nor Zamri Latiff dari PAS-PN pada 24 Mei lalu.