Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kita dah berumur, jangan perbodohkan diri sendiri'

Susulan kekecohan yang sering tercetus di Dewan Rakyat, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ramli Md Nor memberi ingatkan kepada wakil rakyat supaya tidak memperbodohkan diri di khalayak ramai.

Ramli mengingatkan ahli parlimen baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang supaya menjaga integriti sebagai ahli dewan dengan berbahas secara matang.

"Saya rasa yang berhormat-yang berhormat semua sedia maklum integriti bukan sahaja hal berkaitan rasuah, tetapi juga cara kita bercakap dan berbahas.

"Bagi saya kita dah berumur, jangan perbodohkan diri kita di khalayak. Baik di sebelah pembangkang dan kerajaan," katanya.

Ramli memberi nasihat berkenaan sebelum memulakann perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.

Sebelum Ahli Parlimen Cameron Highlands itu mempengerusikan mesyuarat timbul beberapa kali kekecohan antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu isu dakwaan pemimpin DAP memohon tanah di Kelantan yang dibangkitkan Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) mencetuskan ketegangan antara wakil rakyat PAS itu dengan ahli Parlimen DAP.

RSN Rayer (PH- Jelutong) membidas kenyataan Awang Solahuddin yang disifatkannya sebagai satu pembohongan dan mencabarnya supaya mendedahkan nama pemimpin DAP itu.

Kekecohan tercetus beberapa minit sehingga memaksa Timbalan Speaker Alice Lau campur tangan.

Kekecohan itu timbul ketika Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berucap pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024.

Rayer terlebih dulu meminta Lau mengambil perhatian terhadap dua ahli Parlimen pembangkang iaitu Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) dan Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) kerana didakwa mengganggu perbahasannya semalam.

Tindakan Rayer itu menimbulkan tindakan balas daripada Awang Solahuddin sehingga menimbulkan kekecohan.

Sementara itu, Ramli turut mengingatkan ahli Dewan Rakyat supaya mengikut peraturan jika tidak mahu dikenakan tindakan tegas.

"Saya akan 'handle' mengikut peraturan. Jika ada yang degil, saya tak peduli.

"Di sini saya laksanakan tugas. Di luar kita kawan," kata Ramli.