Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO gesa KDN tangguh pindaan RUU penagih dadah

Cadangan kerajaan untuk meminda undang-undang negara berkaitan penagihan dadah mendapat tentangan daripada NGO dan pakar.

Mereka percaya kerajaan perlu menangguhkan Rang Undang-undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat semalam dan menggesa beberapa perubahan diperkenalkan kepada cadangan itu.

Yayasan Aids Malaysia (MAF), dalam satu kenyataan yang disokong sekumpulan pakar perubatan dan pakar berkaitan yang lain, menyuarakan kebimbangan bahawa undang-undang baru ini akan mengekalkan orientasi hukuman walaupun menuju ke arah penyahkriminalan penyalahgunaan dadah.

Satu lagi perkara yang menjadi kebimbangan ialah apabila kerajaan ingin menyatukan kuasa untuk melakukan penilaian dan rawatan penagih dadah di bawah Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (Nada) dan mengurangkan kerjasama agensi itu dengan Kementerian Kesihatan.

"Walaupun dikatakan bertujuan untuk penyahkriminalan, pindaan yang dicadangkan mengekalkan langkah-langkah hukuman terhadap individu yang menggunakan dadah dan keluarga mereka.

"Mereka (pakar) menyatakan kebimbangan khusus terhadap penyatuan tanggungjawab dan kuasa dalam satu agensi dan mengurangkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan.

"Kumpulan pakar menekankan ketidakcukupan penugasan tanggungjawab untuk penilaian ketagihan dan rujukan rawatan kepada pegawai pemulihan seperti yang dilihat dalam penggantian yang dicadangkan kepada Seksyen 8, di mana pegawai pemulihan boleh mengesahkan seseorang individu sebagai penagih atau penyalahguna dadah atau bahan.

"Memandangkan sifat pelbagai aspek penggunaan dan ketagihan dadah yang merangkumi dimensi kesihatan dan sosial, adalah sangat penting bahawa pegawai kesihatan dan pekerja sosial dimasukkan dalam proses penting ini," katanya.

Yayasan tersebut menambah bahawa diagnosis rasmi oleh profesional perubatan juga penting dalam kes di mana individu memohon rawatan secara sukarela, terutamanya dalam menentukan gangguan penggunaan dadah mereka.

Ini adalah supaya pesakit dapat menerima rawatan yang paling sesuai, tambahnya.

Hukuman berat tidak disarankan

Mengenai pendekatan hukuman dalam rang undang-undang terhadap kejadian relaps, MAF berkata pakar memberi amaran terhadap hukuman penjara yang berpanjangan, denda berat, penjara atau sebatan bagi individu yang berdepan ketagihan.

“Terdapat juga kebimbangan serius mengenai hukuman yang dicadangkan untuk ibu bapa pengguna dadah muda seperti yang dilihat dalam pindaan yang dicadangkan kepada Seksyen 9, yang berpotensi menghalang keluarga daripada mendapatkan sokongan yang diperlukan.

“Pendekatan hukuman seperti itu berisiko mengasingkan keluarga di kawasan luar bandar dan memperkukuhkan stigma.

“Para pakar menegaskan bahawa pindaan semasa tidak selari dengan objektif penyahkriminalan yang tulen dan mungkin memburukkan lagi cabaran yang sedia ada,” kata MAF.

Yayasan itu juga menyeru kerajaan untuk melibatkan rundingan yang lebih luas dengan pihak berkepentingan sebelum meneruskan sebarang pindaan.

[Baca berita penuh]