Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes cikgu ponteng: Jainal tak masuk kelas bukan sebab disiplin pelajar - Saksi

Kes saman seorang bekas pelajar terhadap seorang guru kerana tidak hadir ke kelas bersambung di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini.

Saksi plaintif, Nurhaizah Ejab berkata, defendan pertama dalam kes terbabit, Jainal Jamran tidak masuk ke kelas 4 Perdagangan (4PD) selama beberapa bulan pada tahun 2015 bukan disebabkan masalah disiplin pelajar atau kerana defendan hanya berminat mengajar di kelas pandai sahaja.

Dia memberitahu mahkamah bahawa Jainal yang mengajar Bahasa Inggeris juga tidak masuk ke kelas (4 Sastera) 4ST SMK Taun Gusi.

Demikian jelas Norhaizah yang juga merupakan guru di sekolah berkenaan selepas disoal balas oleh peguam Persekutuan Fazriel Fardianshah Abdul Kadir.

Fazriel: Adakah kamu mempunyai bukti dia masuk ke kelas 4ST ?

Norhaizah: Seingat saya 4ST ini digugurkan pada awal tahun 2015, jika merujuk kepada jadual Jainal Jamran iaitu muka surat 116 dan jadual bilangan 2 muka surat 115, kelas 4ST telah digugurkan dan digantikan dengan kelas 5ST dan ini bermaksud sepanjang tahun 2015 Jainal Jamran tidak mengajar di kelas 4ST.

Dalam pada itu, Norhaizah turut mengakui bahawa tiada bukti bertulis mengenai ketidakhadiran Jainal, namun dia mempunyai bukti audio rakaman semasa perjumpaan guru-guru bahasa Inggeris dan pengetua, Suid Hanapi.

Pada 30 Okt 2018, Siti Nafirah Siman memfailkan saman terhadap Jainal kerana didakwa ponteng kelas selama tujuh bulan pada 2015.

Pada masa itu Siti Nafirah merupakan pelajar kelas 4 Perdagangan (4PD) di SMK Taun Gusi.

Selain Jainal, dia juga menamakan pengetua sekolah ketika kes itu berlaku, SMK Taun Gusi, pegawai pendidikan daerah Kota Belud, pengarah pendidikan Sabah, ketua pengarah pendidikan, menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Siti Nafirah diwakili peguamnya Shireen Sikayun, manakala pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Hafizi Abdul Halim dan dibantu oleh Fazriel.

Perbicaraan di hadapan hakim mahkamah tinggi, Ismail Brahim bersambung 12 Ogos depan.