Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemerhati: 'Langkah Muar' cuma raih simpati, dana tetap tak tergapai

Penganalisis politik melihat larian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak meraih apa-apa kecuali simpati dan dana terhad daripada rakyat.

Lebih daripada itu, kata penganalisis, tiada sebarang kesan signifikan khususnya dalam desakan agar kerajaan memberi peruntukan sekata kepada ahli parlimen pembangkang.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata kerajaan memang inginkan jaminan daripada pembangkang demi kestabilan politik dan keakuran mereka terhadap keabsahan kerajaan ini sehingga PRU ke-16

“Hal ini sepertimana Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Putrajaya dan PH ketika di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada masa sama, kata Hisommudin, aksi politik Syed Saddiq itu berjaya memperlihatkan elemen diskriminasi kerajaan kepada wakil rakyat pembangkang.

Hisommudin Bakar

“Hal ini akan memperlihatkan seolah-olah diskriminasi kerajaanlah yang memaksa ahli parlimen pembangkang terpaksa memohon derma awam untuk membiayai keperluan rakyat diwakili mereka,” katanya.

Syed Saddiq pada 1 Julai lalu menamatkan larian sejauh 200km dari Muar hingga ke luar bangunan parlimen sekitar jam 9.30 pagi bagi menarik perhatian masyarakat terhadap isu peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.

Ketibaan Syed Saddiq di luar parlimen disambut oleh penyokong Muda, dan ahli parlimen pembangkang.

Hasil inisiatif yang dipanggil Langkah Muar itu dia berjaya meraih sumbangan sebanyak RM160,000.

Simpati saja tak mencukupi

Daripada jumlah sumbangan yang diterima, Syed Saddiq berkata lebih 2,000 rakyat Malaysia menderma.

"Bukan sekadar sumbang dalam talian kerana sambil saya berlari, ramai berhenti bagi RM20, RM50, RM100, bakkan ada yang beri RM1. Amat luar biasa sekali kerana mereka tak pernah jumpa saya secara fizikal,” katanya.

Ahli akademik di Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa, Lau Zhe Wei, menyatakan sumbangan yang dihulurkan kepada Syed Saddiq membuktikan rakyat Malaysia memang berperikemanusian.

“Masyarakat sudah lihat kesungguhan serta jerih payahnya berpeluh demi mendapatkan peruntukan dana. Oleh sebab itu mereka memberikan sumbangan,” katanya.

Lau Zhe Wei

Namun Lau menyatakan rasa simpati daripada rakyat belum cukup menterjemahkan sokongan mereka sama ada kepada Syed Saddiq atau parti Muda melalui undi nanti.

“Kalau cerita tentang undi, ada banyak perkiraan politik yang rakyat akan ambil.

“Sebagai contoh ada orang melihat desakan Muda ada benarnya. Namun memangkah pada calon PH adalah lebih menepati kepentingan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb, memuji langkah politik Syed Saddiq yang dilihatnya sentiasa menonjolkan kepentingan mengutamakan kesihatan.

“Saya berharap ada ahli politik lain yang mengikut jejak Syed Saddiq.

"Beliau juga sudah lama mempromosi gaya hidup sihat dan larian ini adalah sebahagian daripada kempen itu,” katanya.

Azmil Tayeb

Namun, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Jamaie Hamil, menyatakan Syed Saddiq harus menerima hakikat bahawa menjadi lumrah golongan pembangkang tidak akan mendapat dana daripada kerajaan.

“Inilah ada budaya politik di Malaysia. Rakyat yang mengundi harus fikirkan perkara ini, jika mereka memberi undi kepada calon pembangkang, dana memang tidak akan dapat,” katanya.

Noor Nirwandy Mat Noordin

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA, Noor Nirwandy Mat Noordin, berpendapat Langkah Muar oleh Syed Saddiq adalah sesuatu yang baru dalam politik.

“Apa yang lebih utama, biarkan orang Muar menilai sama ada berbaloi atau tidak larian Syed Saddiq ini,” katanya.