Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM tahan dua lagi individu terlibat rasuah projek lebuh raya di Lembah Klang

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lagi individu iaitu dua pengarah syarikat subkontraktor kerana dipercayai terlibat rasuah bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.

Sumber SPRM memaklumkan pengarah lelaki dan wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan antara 5 petang hingga 7 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Beliau berkata mereka telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi semalam dan perintah tahanan reman selama lima hari hingga 7 Julai ini telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

“Kedua-dua suspek merupakan pengarah dari syarikat yang sama disyaki memberi rasuah kepada pegawai-pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja-kerja projek pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain," katanya kepada Bernama semalam.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Semalam, Bernama melaporkan SPRM menahan reman dua lagi individu iaitu pengerusi sebuah syarikat dan pengarah syarikat subkontraktor bagi membantu siasatan kes rasuah berhubung projek itu.

Setakat hari ini, SPRM telah menahan reman seramai 14 individu berhubung kes itu.

- Bernama