Skip to main
Logo Malaysiakini

PANDUAN KINI | Nasib Bajau Laut yang tidak bernegara di Sabah

Suku kaum Bajau Laut, yang dikenali dengan gaya hidup berpindah-randah di pinggir pantai Sabah, sekali lagi menjadi tajuk berita berikutan beberapa insiden melibatkan masyarakat itu.

Terdahulu pada Jun, media melaporkan bahawa pihak berkuasa didakwa mengusir Bajau Laut dan memusnahkan rumah atas air mereka di Taman Laut Tun Sakaran (TSMP) di Semporna.

Tindakan ini mencetuskan perdebatan di media sosial berhubung sebab di sebalik tindakan sedemikian dan status Bajau Laut di Malaysia, memandangkan ramai dalam masyarakat itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri walaupun tinggal di negara ini sejak turun-temurun.

Siapakah Bajau Laut?

Dalam kertas kerjanya pada tahun 2001, ahli sosiologi Jepun Kazufumi Nagatsu menyifatkan Bajau-Sama sebagai kumpulan etnik yang menetap di Kepulauan Sulu, Filipina, Indonesia timur, dan Sabah, Malaysia dengan berjumlah antara 750,000 dan 900,000 mengikut anggaran awal.

Sebagai perbandingan, penduduk Sabah pada tahun 1990-an adalah lebih 200,000.

“Kaum Sama/Bajau kebanyakannya, jika tidak semua, berorientasikan maritim dari segi cara hidup. Ada yang pernah menjadi penghuni bot di terumbu karang dan dikenali sebagai "nomad laut" atau "gipsi laut" dalam kesusasteraan Eropah.

“Secara amnya, Sama adalah istilah yang digunakan oleh rakyat untuk diri mereka sendiri, manakala istilah Bajau (atau Bajo di Indonesia) sudah biasa digunakan oleh orang luar tetapi kini diguna pakai sebagai istilah rujukan di beberapa kawasan di Sabah,” tulisnya.

Dalam konteks Malaysia, Bajau dikategorikan lagi sebagai Bajau Darat di pantai barat Sabah dan Bajau Laut di pantai timur negeri itu.

Pantai barat meliputi kawasan Kota Belud dan Tuaran, manakala pantai timur meliputi Tawau, Semporna, dan Lahad Datu.

Mengapa mereka tidak bernegara?

Menurut Iskul Sama di-Laut Omadal, sebuah badan amal yang menguruskan sekolah untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan di Semporna, sesetengah perantau laut berkenaan menetap di pulau-pulau sekitar Semporna sebelum Malaysia ditubuhkan.

Yang lain adalah keturunan mereka yang melarikan diri dari konflik bersenjata Sulu dan ketidakstabilan politik di Mindanao Selatan, Filipina, pada 1970-an, dan mencari perlindungan di Sabah. Pulau peranginan iaiatu Pulau Mabul, yang pernah dikenali sebagai Pulau PBB, dijadikan penempatan untuk pelarian ini.

“Kini, walaupun terdapat pengendali resort dan penyelam serta pelancong, Pulau Mabul masih didiami oleh pelarian (campuran Suluk, Bajau, dan Bajau Laut), yang kebanyakannya tidak berdokumen,” kata laman web itu.


BACA: Kisah keluarga Bajau Laut terbiar tanpa kerakyatan


Iskul menyebut masyarakat Bajau Laut yang berjaya mendapat kerakyatan telah tinggal dalam gaya hidup menetap di Sabah sebelum pembentukan Malaysia pada 1963 dan menetap di penempatan Bajau pertama, Kampung Bangau-Bangau, yang diwujudkan pada 1960-an.

Sementara itu, yang lain meneruskan gaya hidup nomad atau separa nomad mereka dengan bot rumah mereka (lepa-lepa ), walaupun mereka tinggal di Sabah sebelum 1963 di tempat seperti TSMP dan kawasan seperti Pulau Omadal, Pulau Mabul, dan pantai Semporna.

Oleh itu, apabila Malaysia, Filipina, dan Indonesia menggubal undang-undang kewarganegaraan dan menetapkan sempadan rasmi sebagai negara bangsa yang baru, Bajau Laut - sekurang-kurangnya mereka yang masih nomad dan tidak mengutamakan dokumentasi - akhirnya tersisih tanpa kerakyatan yang diiktiraf.

Bagaimanakah ketiadaan kerakyatan memberi kesan kepada Bajau Laut?

Tanpa kerakyatan, anak-anak Bajau Laut tidak boleh mendapat pendidikan formal sehingga menyukarkan mencari pekerjaan dan menyara hidup. Ini menyebabkan mereka kehilangan keperluan asas dan peluang untuk mobiliti sosial yang lebih tinggi.

Mereka sebaliknya beralih kepada pendidikan tidak formal seperti yang ditawarkan oleh Iskul Sama di-Laut Omadal atau Borneo Komrad.

Ketiadaan kerakyatan mereka juga menyebabkan ramai Bajau Laut mengelak daripada mendapatkan bantuan perubatan. Tidak seperti warganegara Malaysia yang hanya membayar RM1 untuk rawatan di fasiliti penjagaan kesihatan kerajaan, mereka yang tidak mempunyai dokumen dikenakan 'yuran warga asing,' yang jauh lebih tinggi.

Sebagai sebahagian daripada siri laporan tahun lepas tentang nasib mereka, Malaysiakini mendedahkan kes bayi Bajau Laut dipaksa untuk diambil sebagai anak angkat tanpa kebenaran ibu bapa mereka kerana status tanpa kerakyatan mereka.

Satu lagi kisah yang menyayat hati ialah tentang seorang budak lelaki tanpa kerakyatan berusia sembilan tahun yang meninggal dunia selepas tidak mendapat rawatan HIV selama bertahun-tahun.

Bagaimana pula dengan istilah 'Palauh' atau 'Palau'? Adakah mereka merujuk kepada Bajau Laut juga?

Istilah ini dianggap menghina dan tidak boleh digunakan.

Walaupun istilah itu digunakan secara meluas bagi menggambarkan Bajau Laut, malah oleh sesetengah media dan agensi kerajaan, pensyarah kanan pengajian jantina Universiti Malaya Vilashini Somiah menggesa agar penggunaannya dihentikan.

Bercakap kepada Malaysiakini , Vilashini berkata perkataan itu mempunyai kesan yang sama dengan perkataan menghina 'K' yang digunakan terhadap masyarakat India di negara ini.

Bagaimanapun, tidak seperti masyarakat India, di mana terdapat badan yang boleh bersuara menentangnya, Vilashini berkata masyarakat Bajau Laut tidak mempunyai sesiapa untuk menyokong mereka.

Memetik hampir lapan bulan dia bersama masyarakat Bajau Laut di Lahad Datu, Vilashini berkata ramai yang bercakap dengannya tentang betapa mereka membenci perkataan itu.

“Ramai penduduk tempatan akan menggunakan perkataan itu secara bebas, tetapi Bajau Laut mengatakan mereka membencinya.

"Satu-satunya sebab mereka menerimanya adalah kerana mereka tidak berkuasa dari segi sosial dan ekonomi, selagi istilah itu membolehkan mereka mendapatkan bantuan, mereka hanya bersabar," katanya.

Vilashini berkata sesetengah Bajau Laut yang bercakap dengannya merujuk perkataan itu bermaksud 'mereka yang ditendang keluar', muntah, atau menjijikkan.

Apa yang kerajaan lakaukan?

Sehingga kini, kerajaan masih belum membentangkan rancangan konkrit untuk menangani nasib Bajau Laut, mahupun isu tanpa kerakyatan secara lebih meluas.

Malaysia belum menandatangani dua konvensyen antarabangsa mengenai ketiadaan kerakyatan: Konvensyen Pengurangan Ketiadaan Kewarganegaraan dan Konvensyen Berkaitan Status Orang Tanpa Kewarganegaraan.

Akta Imigresen 1959/1963 tidak membezakan antara pencari suaka, pelarian, pendatang tanpa izin, dan individu tanpa izin atau tanpa kerakyatan. Di bawah undang-undang, semua ini adalah "pendatang tanpa izin" yang boleh ditangkap, dihukum dan dihantar pulang.

Ini menyebabkan Bajau Laut sangat terdedah semasa serbuan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.

Semasa perbahasan parlimen pada 1 Julai, Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis menggesa Suhakam menganjurkan lebih banyak forum terbuka bagi membincangkan isu individu tanpa kerakyatan dan pendatang yang memasuki Sabah secara haram.

Isnaraissah berkata kedua-dua kumpulan itu harus dibezakan dengan jelas apabila pihak berkepentingan di peringkat negeri dan persekutuan terlibat dalam perbincangan mengenai "isu sensitif" ini.

Dengan tiada prospek untuk memberikan kerakyatan kepada Bajau Laut dalam masa terdekat, bekas pesuruhjaya Suhakam Joseph Jerald menggesa kerajaan untuk segera mengumpul data dan merangka rancangan untuk membantu komuniti terpinggir ini.

Dia berkata pentadbiran negeri dan persekutuan telah menjalankan pelbagai inisiatif untuk mengkaji dan mengumpul data mengenai Bajau Laut, dan mengemukakan cadangan.

Dia mempersoalkan ke mana perginya data dan cadangan itu.

“Ketiadaan kewarganegaraan tidak boleh diterima di mana-mana negara, kerana ia melucutkan hak individu dan akses kepada perkhidmatan penting.

“Tiada sesiapa patut menjadi orang yang tak bernegara, termasuk Bajau Laut di Sabah, yang telah hidup tanpa dokumen sejak turun-temurun,” katanya kepada Malaysiakini.