Skip to main
Logo Malaysiakini

Majlis Profesor Negara salah guna dana - Ketua Audit Negara

Jabatan Ketua Audit Negara mendapati Majlis Profesor Negara (MPN), sebuah majlis profesor universiti-universiti Malaysia yang dibiayai kerajaan telah menyalahgunakan pembiayaan kewangannya.

Ini termasuk membayar elaun besar RM207,000 kepada pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tanpa kelulusan menteri.

Juruaudit juga mendapati RM373,516 dana MPN digunakan untuk membayar operasi dua syarikat milik ahli lembaga pemegang amanah.

Ahli berkenaan tidak mengisytiharkan kepentingan mereka dalam syarikat itu, kata Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi pada satu kenyataan akhbar mengumumkan laporan audit terkini hari ini.

Tumpuan audit adalah untuk aktiviti dari 2019 hingga 2023.

MPN sebuah entiti di bawah Jabatan Perdana Menteri yang melapor kepada Menteri Pengajian Tinggi.

Menteri menjadi penasihat kepada MPN.

Menurut laman web MPN, pengerusinya sejak 2019 ialah ahli antropologi UKM Shamsul Amri Baharuddin manakala pensyarah sains politik UUM Mohamed Mustafa Ishak adalah timbalan pengerusi.nya.

Laporan Ketua Audit Negara juga menunjukkan MPN menerima geran mengurus daripada kerajaan berjumlah RM35.84 juta bagi tempoh tahun 2015 hingga 2018, serta 2022 dan 2023.

Lantaran itu Ketua Audit Negara mengesyorkan JPM mengkaji semula MPN sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan.

"Status MPN perlu diputuskan sebelum dipertimbangkan samada ada penyaluran peruntukan geran kepada MPN wajar diteruskan (atau tidak)," kata laporan itu.

Ketua Audit Negara juga menggesa JPM mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan MPN.

"Bagi ketakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan berkaitan dan pengurusan MPN perlu dirombak secara menyeluruh," tegasnya.