Skip to main
Logo Malaysiakini

Joohari nafi tak mesra dengan pengundi

PRK SG BAKAP | Joohari Ariffin menafikan dakwaan dia gagal menunjukkan kemesraaan sepatutnya dengan pengundi di kawasan Sungai Bakap sepanjang kempen berlangsung.

Sebaliknya, Joohari berkata pengalamannya selama ini sepatutnya memudahkan dia berurusan dengan orang ramai khususnya dalam kawasan DUN Sungai Bakap.

"Saya seorang guru. Bagaimana mungkin saya tidak mesra dengan pelajar dan masyarakat? Saya sentiasa mendekati pelajar dan ibu bapa dengan sopan.

"Saya juga pemimpin NGO yang memang kerja kami untuk masyarakat, dan timbalan pengerusi masjid, dan kami menangani masalah yang berlaku dalam kariah.

“Di mana tak mesranya saya?" kata bekas guru dan pendidik itu.

Sebelum ini, Free Malaysia Today melaporkan dakwaan seorang penduduk Sungai Bakap bahawa calon PH terbabit seolah-olah berlagak bagus dan seperti cikgu yang tegas semasa bergaul.

Dalam laporan berkenaan, seorang lagi peniaga tempatan mendakwa dia mendapati calon PN Abidin Ismail lebih "mesra" kerana pernah bekerja sebagai pembantu peribadi kepada penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Mengulas lanjut, Joohari, 60, berkata dia mempunyai cara tersendiri dalam mendekati pengundi DUN Sungai Bakap, namun itu tidak bermakna dia seorang yang sombong.

“Saya tahu di masa mana saya nak gunakan bahasa komunikasi yang betul dengan pelajar dan anak-anak. Saya ada cara saya untuk berkomunikasi. Saya juga seorang pesyarah komunikasi,” katanya.

Tambah Joohari, dia juga lebih suka berinteraksi secara harmoni dengan sesiapa saja termasuk pemimpin dan penyokong pembangkang, selain tidak mempunyai masalah untuk mendengar aduan mereka.

"Pada pendapat saya, jika kita tidak tahu tentang orang itu, kita tidak sepatutnya memberikan persepsi negatif. Pada saya, itu tidak sopan," katanya.

Pada separuh pertama tempoh kempen, Joohari dan Abidin bertembung sekurang-kurangnya dua kali semasa kempen.

Ini termasuk sesi jelajah mersra (walkabout) mereka di pasar malam di Puteri Gunung serta perlawanan bola sepak persahabatan yang dianjurkan oleh Pengarah Strategi PKR Akmal Nasir.

PRK Sungai Bakap yang akan berlangsung 6 Julai ini dan menyaksikan Joohari menghadapi saingan daripada calon PN Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya menggunakan daftar pemilih yang dikemas kini sehingga 24 Mei lalu. Terdapat seramai 39,279 pemilih untuk Sungai Bakap, termasuk 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan selepas kematian penyandangnya Nor Zamri pada 24 Mei lalu.

Dalam PRN Ogos tahun lalu Nor Zamri merampas kerusi tersebut daripada PH dengan majoriti 1,563 undi selepas dia menewaskan Norhidayah Che Rose.