Skip to main
Logo Malaysiakini

Sanusi: Tinjauan IDE berat sebelah, propaganda PH

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) mengenai trend sokongan dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap sebagai berat sebelah.

Menurut menteri besar Kedah itu, IDE merupakan alat propaganda PH.

“IDE itu adalah alat propaganda PH, dia bekerja untuk PKR, jadi semua kajiannya akan bias, IDE bias.

“Tak ada lagi kajian IDE yang objektif, semua bias,” katanya kepada Malaysiakini selepas hadir bermain sepak raga tuju (bawah) bersama masyarakat Kampung Besar di Nibong Tebal, hari ini.

Sanusi berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai dapatan kaji selidik IDE, badan pemikir milik kerajaan Selangor pimpinan PH, yang dibentangkan semalam.

Malaysiakini melaporkan kaji selidik itu mendapati trend sokongan pengundi di DUN Sungai Bakap berpihak kepada calon PH, Joohari Ariffin berbanding calon PN Abidin Ismail.

Bagaimanapun, Pengerusi IDE Profesor Mohammad Redzuan Othman berkata sokongan kepada sesebuah parti tidak semestinya memberi kemenangan kepada calon parti itu.

"Saya nak sebut berdasarkan kajian yang dilakukan bahawa trend atau sokongannya memang berpihak kepada PH atau Kerajaan Perpaduan. 

"Tetapi, saya nak tegaskan sokongan ini bergantung kepada baki empat hari kempen ini. Kedua-dua parti melakukan strategi mereka dan sokongan kepada parti tidak semestinya menjadi kemenangan," katanya pada sidang media analisis Survei Landskap Persepsi Rakyat Menjelang PRK DUN Sg Bakap di Shah Alam, semalam. 

Sanusi ketika ditanya sama ada PN mampu mempertahankan kerusi itu menegaskan calon mereka akan menang pada pengundian Sabtu ini.

“PN menang lagi insya-Allah, dari segi kerja kita dapatan kita insya-Allah.

“Anak-anak muda, orang-orang Melayu tidak lari daripada PN, kita akan menang insya-Allah pakat doa banyak-banyak dan teruskan usaha,” jelasnya.

PRK Sungai Bakap itu diadakan susulan kematian wakil rakyatnya daripada PAS Nor Zamri Latiff pada 24 mei lalu akibat keradangan perut.