Skip to main
Logo Malaysiakini

Perhilitan selamatkan anak gajah jatuh longkang

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menjalankan operasi menyelamatkan seekor anak gajah yang terjatuh longkang di Batu 13, Jalan Raya Timur-Barat pada Ahad.

Anak gajah itu berjaya diselamatkan dengan bantuan lapan orang anggota perhilitan daerah Jeli menggunakan jengkaut.

Video satu minit 20 saat di Facebook Jabatan perhilitan Semenanjung Malaysia menunjukkan, ibu gajah tidak berganjak dan setia menunggu anaknya di tepi longkang semasa kerja menyelamat dilakukan.

Anggota perhilitan menggunakan bantuan tali yang diikat pada jengkaut bagi mengangkat anak gajah tersebut.

Selepas anak gajah berjaya di bawa naik, ibu serta anak gajah itu berjalan menyeberangi jalan dan masuk ke kawasan hutan berhampiran.

Bagaiamanapun video tersebut dibanjiri dengan komen-komen netizen yang turut gembira apabila anak gajah itu dapat dikeluarkan.

“Terima kasih kepada anggota Perhilitan Daerah Jeli dalam misi menyelamatkan anak gajah,” kata seorang netizen.

“Terbaik Jabatan Perhilitan, satu pekerjaan yang mulia,” kata seorang lagi netizen.

Terdapat juga beberapa komen yang risau terhadap keadaan ibu gajah yang kelihatan tidak stabil ketika berjalan menuju masuk ke hutan.

Tetapi ada pihak menjelaskan gajah tersebut telah diberi ubat pelali supaya tidak bertindak ganas sewaktu misi menyelamat anaknya.

Setakat berita ini ditulis, video tular tersebut bagaimanapun meraih 277, 000 tontonan serta mendapat lebih 14,000 tanda suka.