Skip to main
Logo Malaysiakini

Saintis guna IVF untuk selamatkan badak dari pupus

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Prosedur mengumpul telur dari badak seberat dua tan sedang dilakukan di zoo seluruh Eropah untuk menyelamatkan populasi liar.

Teknologi kesuburan canggih diharap dapat meningkatkan kepelbagaian genetik badak putih selatan di Afrika yang hampir pupus.

Saintis percaya badak di zoo, yang mempunyai lebih banyak kepelbagaian genetik kerana melalui proses silang kacuk dengan teliti, dapat meluaskan kombinasi genetik dengan bantuan Persenyawaan in vitro (IVF).

Salah satu haiwan yang terlibat dalam projek itu ialah Zanta yang berusia 22 tahun dari Zoo Dublin di Ireland.

Doktor haiwan, Frank O’Sullivan berkata Zanta tidak boleh membiak secara semula jadi dan telurnya dikumpul untuk disenyawakan bagi memastikan genetiknya dipelihara.

"Sebab utama kami mahu melakukan prosedur ini adalah bagi membantu Zanta untuk membiak walaupun menggunakan bantuan IVF,” katanya seperti dilaporkan BBC.

Sekumpulan pakar kesuburan dari Institut Leibniz untuk Penyelidikan Zoo dan Hidupan Liar di Jerman juga terbang ke Ireland untuk melaksanakan prosedur tersebut. 

Telur Zanta diambil menggunakan jarum halus setelah dia diberi suntikan hormon.

Kejayaan itu menunjukkan teknik IVF boleh dilaksanakan.

Matlamat utama mereka adalah untuk mengaplikasikan teknik ini juga kepada badak putih utara yang hampir pupus, hanya dua ekor betina yang tinggal.

Walaupun IVF badak masih dalam peringkat awal, pasukan itu terus membina stor embrio yang menyimpan telur dan sperma yang dikumpulkan dari seluruh Eropah.

Zanta mungkin tidak menyedari peranannya, tetapi telurnya boleh membuat perubahan besar dalam kelangsungan generasi badak putih pada masa hadapan.