Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis sahkan rangka ditemukan dalam semak milik Hafiz

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Polis mengesahkan rangka manusia yang ditemukan dalam semak di kebun durian berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Linau, di Jalan Yong Peng, dekat Batu Pahat, 24 Jun, milik remaja yang dilaporkan hilang pada 26 Mei.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Shahrulanuar Mushaddat Abdullah berkata pengesahan rangka terbabit milik Hafiz Fauzan Abdul Halid, 16, berdasarkan keputusan analisa pemprofilan Asid Deoksiribonukleik (DNA), oleh Jabatan Kimia Malaysia Negeri Johor, semalam.

Beliau berkata melalui profil DNA diperolehi daripada spesimen darah yang diambil untuk tujuan perbandingan mendapati kebarangkalian keibubapaan dengan rangka manusia yang ditemukan ialah 99.99 peratus.

“Identiti rangka manusia tersebut ialah Hafiz Fauzan Abdul Halid, lelaki Melayu, berumur 16 tahun, pelajar tingkatan lima dan beralamat di Bandar Putera Indah Batu Pahat Johor, merupakan mangsa orang hilang yang dilaporkan sejak 26 Mei,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bapanya Abd Halid Sugiman, 44, ketika dihubungi menyatakan rasa bersyukur setelah menerima pengesahan keputusan DNA tersebut, selepas hampir sebulan mencari anak ketiganya itu.

“Jenazah akan dituntut pada pagi ini (5 Jul) dan akan dikebumikan pada hari yang sama di Tanah Perkuburan Islam Batu 7, Tongkang Pechah,” katanya.

- Bernama