Skip to main
Logo Malaysiakini

Mkini tidak terbabit terbit artikel palsu Sheila Majid hidap arthritis

SEMAK FAKTA | Artikel yang menggunakan logo Malaysiakini mengenai ratu jazz Malaysia Sheila Majid menghidap arthritis adalah palsu.

Berdasarkan tangkap layar yang disiarkan oleh penyanyi itu di laman Instagramnya malam tadi, artikel itu kelihatan seperti penipuan pancingan data yang bertujuan menipu mangsa yang tidak curiga untuk membeli sejenis ubat penyakit itu.

Ia dipaparkan sebagai salinan tepat laman web Malaysiakini tetapi tidak mempunyai kaitan dengan portal berita itu.

Portal berita ini juga tidak pernah menghasilkan artikel yang memetik Sheila menyokong produk sedemikian, dan tidak pernah menemu bualnya mengenai isu perubatan yang dikatakan artikel palsu itu.

Penyanyi itu juga menafikan dia menghidap arthritis dan berkerusi roda seperti yang didakwa artikel palsu itu.

"Merepek! Ini berita palsu. Jika benar saya menghidap 'sakit' ini, sudah pasti berita tempatan telah melaporkannya lima tahun dahulu.

"Kenapa tidak jujur untuk menjual barang. Tiada keyakinan sampai guna nama saya," kata Sheila pada kapsyen yang disertakan bersama tangkap layar artikel itu di Instagramnya.

Artis itu menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membantu mengenal pasti dalang di sebalik penyebaran berita palsu itu, berkata dia mahu mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.