Skip to main
Logo Malaysiakini

Rosmah: Mahkamah pernah putuskan barang mewah bukan dari hasil haram

Rosmah Mansor berkata mahkamah sebelum ini memutuskan barang kemas dan barangan mewah yang dikaitkan dengannya bukan diperolehi menerusi kegiatan yang melanggar undang-undang.

Isteri kepada Najib Razak itu berkata demikian dalam pernyataan pembelaannya dalam saman 1MDB berjumlah AS$346 juta (RM1.63 bilion) terhadapnya.

Menurut Rosmah, pada kira-kira dua tahun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan barangan mewah yang dimilikinya bukan diperoleh menerusi wang haram atau daripada pecah amanah.

Dia berkata 1MDB terikat dengan keputusan mahkamah itu yang dibuat pada 14 November 2022, yang menolak saman lucut hak yang difailkan kerajaan ke atasnya.

Saman itu berkaitan barangan yang dirampas pihak berkuasa dalam serbuan di sebuah kondominium di Pavilion Kuala Lumpur pada 2018.

Pada 9 Mei lalu, 1MDB dan 10 pihak lain memfailkan writ saman berjumlah AS$346 juta terhadap Rosmah dan seorang individu bernama Shabnam Naraindas Daswani.

Menurut salinan writ itu, 11 plaintif itu mendakwa Rosmah menerima beribu-ribu barang kemas, jam tangan dan beg tangan yang dibeli oleh Shabnam, di mana barang-barang itu didakwa dibeli bukan dengan wang kedua-dua mereka sendiri tetapi dengan dana yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB dan plaintif lain.

Selain 1MDB, empat plaintif lain terdiri daripada anak syarikat dana itu, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited.

Plaintif selebihnya merupakan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd, dan lima syarikat dalam lukuidasi, iaitu Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Mereka mendakwa dana itu disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir, termasuk lima daripada plaintif yang kini dalam pembubaran, sebelum dibayar kepada 48 vendor berbeza dalam tidak kurang daripada 14 bidang kuasa untuk pembelian barangan mewah itu.

"Sebanyak 320 pembayaran sedemikian berjumlah AS$346,010,489 telah dibuat," dakwa mereka.

Selain mendapatkan perintah untuk memaksa Rosmah membayar lebih AS$346 juta kepada mereka, plaintif juga meminta mahkamah sivil memaksanya dan defendan lain membayar ganti rugi atau pampasan yang setimpal untuk dinilai kemudian, ganti rugi teruk dan/atau teladan.

[Baca berita asal]