Skip to main
Logo Malaysiakini

'Belum masanya samakan audit HRD Corp dengan skandal 1MDB'

Belum tiba masanya untuk menyamakan tadbir urus Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) yang lemah dengan skandal 1MDB, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata ruang perlu diberikan kepada ahli parlimen untuk membahaskan penemuan audit terbaru mengenai HRD Corp, yang telah dibentangkan di Parlimen, diikuti dengan jawapan Menteri Sumber Manusia Steven Sim di Dewan Rakyat.

“Beri ruang penuh pada ahli parlimen untuk bahas dan menteri Kesuma (Kementerian Sumber Manusia) menjawab. Belum masanya untuk kita buat apa-apa pengklasifikasian seperti dicadangkan,” katanya.

Dia menjawab soalan sama ada penemuan tadbir urus yang lemah oleh Ketua Audit Negara dalam HRD Corp, yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit, boleh disamakan dengan skandal 1MDB.

Fahmi berkata Menteri Sumber Manusia Steven Sim juga memaklumkan kabinet hari ini bahawa dia tidak mempunyai bantahan terhadap sebarang siasatan berkaitan pihak berkuasa termasuk SPRM.

“Secara umumnya terpulang kepada menteri masing-masing yang menyelia mana-mana institusi atau jabatan yang diaudit untuk mengambil tindakan susulan.

"Apa yang menjadi keutamaan perdana menteri ialah pengurusan, tadbir urus dan akauntabiliti isu-isu yang diketengahkan (dalam laporan audit)," kata Fahmi semasa sidang media mingguan pasca kabinet di kementeriannya di Putrajaya.

Awal hari ini, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp Shahul Hameed Dawood menyerahkan laporan mengenai salah urus agensi itu kepada SPRM.

Semalam, Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam laporan itu mengesyorkan kementerian merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan selepas entiti kerajaan itu gagal mengauditnya.

Secara berasingan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen juga mendedahkan bahawa sejumlah RM3.77 bilion levi yang dikutip daripada majikan untuk program pembangunan latihan telah digunakan oleh HRD Corp untuk membuat beberapa pelaburan berbeza yang bukan matlamat penubuhannya.