Matrikulasi: NGO India jangan buat kenyataan mengelirukan - Dr Sathia
Timbalan Setiausaha Agung PKR Dr Sathia Prakash Nadarajan menggesa gabungan NGO masyarakat India yang tidak senang dengan keputusan kerajaan mengenai program matrikulasi supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.
Ini selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan lepasan SPM bukan bumiputera yang mendapat 10A dan ke atas layak melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi.
Dr Sathia Prakash Nadarajan mengulas desakan beberapa NGO supaya kerajaan mengekalkan sistem kuota, bagi menjamin tempat pelajar India dalam program matrikulasi.
"Nampaknya, ramai tidak faham atau sengaja seolah-olah tidak faham dengan pengumuman perdana menteri Anwar Ibrahim.
"Kenyataan perdana menteri sangat jelas bahawa kerajaan menjamin pelajar mendapat 10A ke atas, dari semua kaum itu diberi kesempatan mengikuti program matrikulasi.
"Ini tidak bermakna sistem kuota yang sedia ada dimansuhkan atau pun bilangan pelajar India ke matrikulasi akan berkurang," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika mengulas tuntutan gabungan NGO masyarakat India semalam mendesak kerajaan untuk mengekalkan sistem kuota ke atas pelajar India yang ingin melanjutkan pengajian ke matrikulasi.
Gabungan NGO India berkata keputusan yang diumumkan Anwar itu hanya satu penyelesaian sementara.
"Pengumuman perdana menteri semua pelajar mendapat 10A dalam SPM diberi keutamaan meneruskan pengajian ke peringkat matrikulasi tanpa mengira kaum adalah satu keputusan yang sangat baik.
"Tetapi, adakah keputusan ini memihak kepada pelajar India? Sudah pasti tidak.
"Kami nak kerajaan mengekalkan kuota 2,500 kepada pelajar India seperti diamalkan sebelum ini," kata mereka pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Hampir 20 wakil mewakili lebih 300 NGO masyarakat India dari seluruh negara menghadiri ke sidang media itu.
Bagaimanapun, Sathia hari ini berkata permintaan NGO berkenaan supaya kerajaan mengekalkan sistem kuota adalah satu tindakan ke belakang.
Ini katanya selepas sekian lama masyarakat India di Malaysia mendesak memperkenalkan sistem merit.
Menurut Sathia lagi, gabungan NGO tersebut tidak memahami pengumuman perdana menteri itu dan membuat kenyataan secara tergesa-gesa sebelum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perincian mengenai perkara itu.
"Sebagai contoh, buat masa ini, terdapat 40,000 tempat matrikulasi secara keseluruhan, 90 peratus diperuntukkan untuk Bumiputera, 5.5 peratus atau 2,200 tempat untuk pelajar Cina manakala pelajar India diberi 3.5 peratus atau 1,400 tempat.
"Mengikut keputusan SPM pada tahun ini seramai 11,713 pelajar mendapat semua A. Daripadanya, lebih kurang 900 adalah pelajar India. Katakan, lebih kurang 10,000 daripada jumlah pelajar ini melanjut pengajian ke matrikulasi, masih terdapat 30,000 tempat kosong di bawah sistem kuota.
"Dengan sistem sedia ada, iaitu 3.5 peratus untuk kaum India, pelajar India akan dapat 1,050 tempat. Kalau campur dengan 900 pelajar India yang mendapat semua A, jumlahnya sudah mencecah 2,000 tempat. Ini kenaikan hampir 100 peratus daripada 1,116 pelajar India dibawa masuk ke matrikulasi pada tahun lepas," katanya.
Tambahnya, jumlah ini boleh ditambah sekiranya lebih ramai pelajar India mendapat semua A di SPM atau kerajaan menambahkan lagi jumlah tempat matrikulasi pada masa akan datang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai