KDN teliti dapatan PAC, pertindihan dua sistem urus pekerja asing
Kerajaan akan melaksanakan penelitian lanjut berhubung dua sistem pengurusan pekerja asing yang didakwa mengalami pertindihan fungsi seperti didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Rabu lepas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau dan meneliti dapatan yang didedahkan PAC mengenai dua sistem pengurusan pekerja asing.
“Apa sahaja penemuan termasuk oleh PAC menjadi kewajipan kita untuk perbaiki amalan sekarang. Kami akan ikhtiar sedaya upaya tambah baik,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Larian Hari Polis di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, PAC mendedahkan berlakunya pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing dan ia dilihat membazirkan wang awam.
Ia melibatkan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan KDN.
Menurut PAC, sistem FWCMS didapati telah digunakan selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan dan ia jelas melanggar peraturan ditetapkan kerajaan.
Selain itu, PAC turut mendapati wujudnya kelemahan dalam pengurusan kawalan 'Pengenala' (ID) dalam sistem FWCMS apabila terdapat dua ID yang dipegang oleh bukan pegawai KESUMA, manakala terdapat 24 'pengguna yang tidak dibenarkan' telah meluluskan 24 permohonan majikan.
Pengerusi PAC Parlimen Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilapor berkata kes berkenaan telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar satu siasatan dijalankan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai