Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuduhan DAP gagal tarik undi Cina tak boleh diterima - H'ng

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

DAP menafikan dakwaan parti itu gagal mendekati pengundi Cina secara berkesan di Sungai Bakap, yang membawa kepada kerugian kerajaan di sana.

Tuduhan sedemikian tidak boleh diterima, kata Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang H'ng Mooi Lye (gambar judul).

“Semua parti komponen Kerajaan Perpaduan - PH telah bekerja keras dan memberi sokongan padu kepada calon PH pada pilihan raya kecil ini.

"Tidak kurang juga pemimpin DAP turun ke Sungai Bakap untuk berkempen tanpa jemu sepanjang tempoh berkempen," katanya pada satu kenyataan hari ini.

H'ng menggesa kerajaan menerima keputusan pilihan raya kecil itu dan meneruskan usaha untuk meyakinkan pengundi daripada menuding jari antara satu sama lain.

Dia merujuk kenyataan pengerusi Veteran Umno Mustapha Yaakub (gambar atas) yang mengatakan Umno telah melakukan yang terbaik untuk membantu PH namun mendakwa tidak bagi DAP.

Kata Mustapha pihaknya mendapat maklumat "pengundi Cina gagal didekati oleh pemimpin DAP."

Perikatan Nasional mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dengan peningkatan majoriti dan bahagian undi pada pilihan raya kecil itu, apabila peratusan keluar mengundi yang lebih rendah tidak menyebelahi PH.

PN menggembar-gemburkan kemenangannya sebagai tanda rakyat Malaysia, termasuk bukan Melayu, menolak kerajaan Madani pimpinan PH.

Menurut Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, analisis awal menunjukkan peratusan pengundi Melayu 70 peratus manakala hanya 47 peratus pengundi Cina dan 58 peratus pengundi India yang mengundi.

Sementara itu, H’ng mendakwa perubahan yang dibawa oleh kerajaan perpaduan sukar diterima menyebabkan rakyat hilang keyakinan.

“Bagaimanapun, kerajaan perpaduan akan terus menggiatkan usaha membela nasib rakyat, melaksanakan dasar untuk kepentingan rakyat supaya semua orang dapat merasai reformasi yang dibawa oleh kerajaan perpaduan,” katanya.

Kata H’ng lagi kerajaan akan terus mendengar pandangan yang disuarakan oleh akar umbi bagi mendapatkan semula kepercayaan dan sokongan daripada rakyat Malaysia.

PRK Sungai Bakap diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Nor Zamri Latiff yang juga ketua PAS Bahagian Nibong Tebal pada 24 Mei lalu.