Skip to main
Logo Malaysiakini

Boeing setuju mengaku salah, bayar denda AS$243.6 juta dakwaan tipu nahas 737 Max

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

GLOBAL | Boeing bersetuju untuk mengaku bersalah dan membayar denda AS$243.6 juta ke atas dakwaan penipuan mengenai nahas pesawat 737 MAX pada 2018 dan 2019, lapor Sputnik berdasarkan laporan CNBC yang memetik Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).

"Kami boleh mengesahkan kami telah mencapai persetujuan secara prinsipnya dalam penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman, bergantung kepada kelulusan terma-terma tertentu,” lapor CNBC yang memetik kenyataan syarikat itu.

Persetujuan pengakuan itu termasuk melantik pemantau bebas untuk memantau pematuhan syarikat pembuat pesawat itu selama tiga tahun.

Boeing juga perlu melabur sekurang-kurangnya AS$455 juta dalam program pematuhan dan keselamatan, kata CNBC.

Jabatan Kehakiman memaklumkan Boeing pada Mei bahawa ia bakal menghadapi pertuduhan jenayah selepas jabatan berkenaan mendapati syarikat itu melanggar satu keputusan yang dicapai pada 2021 bahawa Boeing perlu membayar penalti berjumlah AS$2.5 bilion dan berikrar untuk meningkatkan protokol pematuhan dan keselamatannya.

Pendakwa Raya Persekutuan baru-baru ini mengesyorkan kepada pegawai kanan Jabatan Kehakiman supaya mendakwa Boeing kerana gagal menambah baik keselamatan pesawatnya selepas satu siri kemalangan kecil tahun ini, termasuk panel pintu pesawat Alaska Airlines yang tercabut sebaik sahaja berlepas, menurut seorang sumber yang biasa tentang isu ini kepada Sputnik.

- Bernama-Sputnik