K'jaan akan tubuhkan institusi AI - Gobind
Menteri Digital Gobind Singh Deo memaklumkan kerajaan akan menubuhkan institusi kecedasan buatan (AI) di Malaysia untuk merangka garis panduan etika pembangunan teknologi itu.
Katanya, walaupun negara mengejar menjadi hub AI namun aspek etika dan undang-undang tidak diabaikan.
“Perkara ini masih dalam proses dan akan dilancarkan dalam masa terdekat.
“Penubuhan institusi ini adalah penting untuk memastikan kita mendapat nasihat pakar. Mereka yang berada dalam institusi ini akan diberi tugas khusus supaya negara kita berada dalam landasan etika yang tepat di industri AI,” katanya.
Menteri itu juga berkata kerajaan akan memfokuskan isu-isu etika seperti penggunaan AI untuk penipuan (scam) atas talian serta aspek penjagaan hak intelek dan tahap keselamatan.
Terdahulu Gobind merasmikan program debat anak muda anjuran bersama Malaysiakini dan Microsoft Youth Parliamentary Debathon 2024 sesi kedua dengan tajuk “Adakah Malaysia Perlu Menerima Pakai Pendekatan Selaras Antarabangsa untuk Tadbir Urus AI?” yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Gobind ketika berucap menegaskan kepentingan regulasi urus tadbir AI bagi mewujudkan ekosistem yang mampu memacu Malaysia menjadi pemain utama dalam industri ini.
“Tanpa urus tadbir yang jelas negara kita akan kekurangan tenaga kerja serta hala tuju yang jelas dalam industri ini.
“Maka kerajaan Madani mengalakkan perbincangan dan diskusi seperti program debat ini bagi menentukan sejauh mana bentuk regulasi yang harus ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan kelancaran pembanggunan AI baik dari sudut kemajuan material dan etika,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, program Debathon 2024 itu turut dihadiri pengasas bersama Malaysiakini, Pramesh Chandran, pemangku CEO MyDigital Corporation & MYCentre4IR Ellina Roslan serta Pengarah Undang-undang dan Perhubungan Kerajaan, Microsoft, Adilah Junid.
Sesi debat ini melibatkan lima wakil pihak kerajaan dan enam pembahas pembangkang.
Pihak kerajaan berhujah urus tadbir AI kerajaan harus mengikuti kerangka polisi undang-undang oleh komuniti antarabangsa EU dan G7 yang dirujuk sebagai ‘Hiroshima AI Process’.
Kata pembahas kerajaan, perkara ini penting untuk menunjukkan keyakinan kepada pelabur luar serta komitmen Malaysia menerajui pembangunan teknologi AI di peringkat global.
Sementara itu, pihak pembangkang berhujah kerangka polis yang berteraskan kepentingan tempatan harus diutamakan dalam urus tadbir AI kerana isu kos serta kepentingan produk nasional.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai