Skip to main
Logo Malaysiakini

Audit: HRD Corp harus tambah baik tadbir urus dana - MEF

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan (HRD Corp) harus mengambil langkah sewajarnya susulan penemuan audit dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk menambah baik tadbir urus dananya, kata Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

“Kami berharap penemuan audit ini akan menjadikan HRD Corp lebih kukuh dalam tadbir urus dana. Kami memerlukan orang yang lebih berkualiti dalam pengurusan, teknologi dan proses yang lebih baik,” katanya semalam.

Syed Hussain berkata demikian bagi mengulas penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai kelemahan dalam pengurusan HRD Corp dengan tawaran hartanah yang meragukan dan pelaburan berisiko tinggi.

Menurut laporan, PAC juga berkata tiada wakil Bank Negara Malaysia (BNM) dalam panel pelaburan itu, ia bertentangan dengan Akta Dana Pembangunan Sumber Manusia 2001.

"Memandangkan dana semakin banyak, kami memerlukan lebih ramai orang berkaitan pelaburan yang cekap dalam jawatankuasa itu. Tindakan HRD Corp membolehkan mereka menubuhkan jawatankuasa pelaburan,” katanya.

Beliau berkata menerusi pengurusan lebih baik dan menumpukan perhatian terhadap latihan dan pembangunan HRD Corp, ia akan menjadi antara yang terbaik di dunia.

“Sebagai ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Kami tidak menemui mana-mana negara yang telah menubuhkan dana sedemikian. Malaysia adalah peneraju dalam pembangunan bakat ini.”

“Justeru, HRD Corp boleh menjadi lebih baik dan menjadi contoh untuk pembangunan Sumber Manusia,” katanya.

Beliau berkata walaupun siasatan sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan penemuan PAC, pujian harus diberikan kepada HRD Corp untuk mencatatkan kedudukan kewangan yang stabil seperti yang diperakui dalam Laporan PAC 2/2024.

HRD Corp mencatatkan keuntungan terkumpul sebanyak RM389.95 juta setakat 31 Disember 2022.

Syed Hussain berkata, aspek kewangan HRD Corp yang stabil akan membantu memperkasakan semua program latihan modal insan yang diperlukan oleh syarikat yang menjalankan operasi perniagaan di negara ini.

"Tahniah kepada pasukan pengurusan HRD Corp untuk kejayaan ini dan kami di pihak majikan akan sentiasa bekerjasama untuk membangunkan ekonomi negara ini terutama aspek memperkasakan modal insan yang menjadi antara teras utama perniagaan," kata beliau.

- Bernama