Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Tindakan disiplin jika guna jentera kerajaan berkempen

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Jika ada bukti menteri atau pegawai awam menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen, tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim (Pakatan Harapan-Tambun).

Bagaimanapun, dia menyatakan ada perbezaan antara jentera kerajaan yang digunakan sebelum dan selepas hari penamaan calon pilihan raya.

"Saya setuju bahawa sebaik saja penamaan calon tak boleh digunakan (jentera kerajaan). Kalau ada bukti yang disampaikan tentunya kita akan ambil apa-apa tindakan yang wajar dan saya tak berdolak dalik,” katanya di Dewan Rakyat.

Katanya, ini berikutan keputusan kabinet mengenai perkara itu.

Semasa PRK Sungai Bakap baru-baru ini, Bersih membuat laporan kepada SPRM berhubung pengumuman kerajaan berhubung rancangan membina dua pusat warga emas dan sebuah sekolah Tamil di DUN itu.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi telah membuat pengumuman itu semasa kempen pilihan raya, yang menurut pengarah komunikasi Bersih Asraf Sharafi Mohd Azhar bermasalah kerana ia berdasarkan syarat calon kerajaan menang.

Asraf berkata ia melanggar Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya yang melarang sebarang pengumuman bersyarat dibuat.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menuduh pengerusi BN itu sebagai "rasuah terang-terangan" dan melabelkan perbuatan itu sebagai percubaan terdesak oleh gabungan pemerintah untuk merayu pengundi di DUN itu.