Skip to main
Logo Malaysiakini

PN kecewa ‘tafsiran songsang’ speaker

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kecewa dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengekalkan kerusi enam ahli parlimen Bersatu yang berpaling tadah.

Katanya, Johari telah mengkhianati semangat dan hasrat murni pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang ahli Parlimen melompat parti.

"Keputusan YB speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Keputusan YB speaker dengan memberikan alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan YB speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negara.

"Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut," katanya pada sidang media di parlimen, hari ini.

Muhyiddin berkata Bersatu menerima surat daripada Speaker Dewan Rakyat berhubung perkara itu petang semalam.

Surat Johari yang dilihat Malaysiakini menegaskan peraturan yang digunakan Bersatu untuk melucutkan keahlian lima ahli parlimennya itu telah melanggar hak perlembagaan mereka dan peraturan parlimen yang menjamin kebebasan mereka untuk bersuara, berhujah dan mengundi.

Peraturan berkenaan menetapkan ahli Bersatu yang menentang parti mereka dianggap telah gugur keahlian.

Dalam kes enam bekas ahli parlimen Bersatu, mereka dilaporkan enggan mengesahkan kesetiaan mereka kepada parti selepas peraturan parti dikemas kini.

Mereka ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Pada 20 Jun lalu, Bersatu mengemukakan notis kepada speaker Dewan Rakyat memohon supaya enam kerusi parlimen dipegang oleh wakil rakyatnya dikosongkan.

Ketua whip Bersatu yang juga naib presiden parti, Ronald Kiandee sebelum ini berkata keahlian parti keenam-enam mereka yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah terhenti secara serta-merta.

“Justeru, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima.

"Notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli parlimen Bersatu yang terhenti keahliannya secara serta-merta sudah diserah dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Bersatu akan memutuskan untuk mengambil langkah susulan bagi mengkaji keputusan speaker Dewan Rakyat termasuk tindakan undang-undang.

"Sehubungan itu, Bersatu memutuskan untuk mengambil langkah-langkah susulan dengan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan parti Bersatu," katanya.

Tegas Muhyiddin keputusan speaker DUN Kelantan mengosongkan kerusi DUN Nenggiri yang disandang Mohd Azizi sebagai "precedent" bagi mencabar keputusan dibuat Johari.