Skip to main
Logo Malaysiakini

Azmin terus tekan speaker DUN kosongkan kerusi Selat Klang

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Ketua pembangkang Selangor Mohamed Azmin Ali terus memberi tekanan kepada speaker Dewan Undangan Negeri supaya mengosongkan kerusi DUN Selat Klang selepas penyandangnya, Abdul Rashid Asari telah terhenti keahlian daripada Bersatu.

Azmin berkata kedudukan Abdul Rashid (gambar bawah) yang telah terhenti keahliannya juga turut diperakui Speaker DUN Selangor Lau Weng San apabila mengubah kedudukan Adun Selat Klang itu.

Speaker telah mengubah kedudukan Adun Selat Klang yang dianggap tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti politik selepas menerima notis dikemukakan Mohamed Azmin.

"Notis ini bertarikh 21 Jun, namun saya sampaikan secara tangan kepada Tuan Speaker pada 21 Jun 2024...sebenarnya YB Tuan Speaker tak perlu tunggu 21 hari, sebab isu ini adalah isu yang mudah difahami semua pihak.

"Akta antilompat parti diluluskan sebulat suara oleh Dewan Negeri dan juga Dewan Rakyat.

"...Perkara pokok bila dia (Adun Selat) terhenti menjadi ahli mana-mana parti kena rujuk balik Perlembagaan perkara 49A di mana sesorang ahli dewan rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli dewan, kalau dia dewan hendaklah dia terhenti menjadi ahli dewan negeri itu dan kerusinya hendaklah dikosongkan.

"Sekarang ini Selat kelang tak lagi jadi anggota parti Bersatu...saya kemukakan dokumen dan speaker mengesahkan," kata Azmin pada sidang media di DUN Selngor di Shah Alam, hari ini.

Pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah (gambar bawah) mengumumkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kosong bermula hari ini.

Katanya, ini selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kelantan.

"Maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri diwakili Mohd Azizi (Abu Naim).

"Menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis kekosongan," kata Mohd Amar.

Bagaimanapun keputusan Mohd Amar tidak mempengaruhi keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang terus mengekalkan kerusi enam bekas ahli parlimen Bersatu (gambar bawah) yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut surat yang diterima Bersatu, speaker parlimen menyatakan tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas ahli Bersatu itu.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata ia akan menjadi krisis jika speaker DUN tidak menjalankan tugas seperti mana diamanahkan.

Katanya, peranan speaker adalah melaksanakan undang-undang bukannya membuat tafsiran undang-undang.

"Saya tidak mahu membuat andaian keputusan speaker (DUN), saya letak harapan agar tuan speaker buat keputusan ikut perlembagaan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri.

"Saya yakin speaker akan bertindak secara profesional kerana parti dia juga mempertahankan prinsip yang sama," katanya lagi.