Skip to main
Logo Malaysiakini

Selepas 15 tahun, berapa ramai Gen-Z tahu mengenai kes Beng Hock?

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Kes Teoh Beng Hock pernah menjadi tumpuan umum dan pihak media pada penghujung tahun 2000-an, namun generasi baru - Gen Z - mungkin terlalu muda untuk memahami kes berkenaan.

Selepas 15 tahun, kematian pembantu ahli politik DAP itu memberi inspirasi kepada Gen-Z yang kini bukan lagi kanak-kanak, untuk sama-sama menyertai perjuangan keluarga Teoh dalam menuntut keadilan.

Salah seorangnya ialah Liau Pin Chun, graduan undang-undang Universiti Malaya berusia 24 tahun, yang hanya berusia sembilan tahun ketika Beng Hock meninggal dunia ketika dalam tahanan SPRM pada 16 Julai 2009.

Teoh yang merupakan pembantu kepada Adun DAP bagi Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat sepanjang malam di tingkat 14 ibu pejabat SPRM Selangor ketika itu.

Pada tahun 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja memutuskan Beng Hock didorong membunuh diri berikutan soal siasat agresif oleh SPRM.

Namun pada tahun 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa kematian itu adalah "hasil daripada, atau dipercepatkan oleh, tindakan menyalahi undang-undang atau tindakan oleh individu yang tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM yang terlibat dalam penahanan dan penyiasatan si mati."

Liau berkata dia pertama kali mengetahui kes itu ketika mendengar berita dalam perjalanan ke sekolah.

Dia kemudian mendengar sekali lagi berita berkenaan daripada pengetua di sekolahnya yang biasanya akan menerangkan peristiwa penting kepada para pelajar semasa kelas pendidikan moral setiap minggu.

"Saya ingat pengetua khususnya memperuntukkan satu sesi kelas untuk bercakap mengenai insiden ini.

"Tetapi pada masa itu, saya terlalu muda untuk memahami mengapa kes pembunuhan ini menyebabkan kegemparan besar," katanya dalam podcast berbahasa Cina Malaysiakini.

Liau kemudiannya menyedari bahawa kes itu diselubungi misteri.

"Pada masa itu juga saya memahami bahawa tiada siapa yang patut mati tanpa sebab yang jelas dalam pusat tahanan," tambahnya.

Dia berkata kes itu memberi kesan mendalam kepadanya, menjadi salah satu sebab dia menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang.

"Kes ini adalah salah satu sebab yang membuatkan saya mahu belajar undang-undang.

"Selepas itu, ada peristiwa lain, seperti Bersih dan gerakan anti-Lynas. Siri-siri gerakan sivik ini memotivasikan saya untuk menggunakan undang-undang untuk mengubah masyarakat," kata Liau.

‘Tiada siapa patut mati sia-sia’

Seorang lagi peajar jurusan undang-undang, Lim Jing Jet, berkata dia mengetahui mengenai kes Beng Hock melalui penglibatannya dalam pertandingan debat.

"Dulu, saya tidak mendalami butiran (kes tersebut). Kini, apabila saya memahami konteksnya dan mengapa semua ini berlaku, saya rasa ia adalah perkara yang sangat tragis," katanya dalam podcast berkenaan.

Pelajar undang-undang Universiti Malaya berusia 20 tahun itu berkata hanya selepas memasuki Fakulti Undang-Undang, menyertai gerakan pelajar, dan menyertai Teoh Beng Hock Association for Democratic Advancement (TBH-ADA) barulah dia benar-benar memahami ketidakadilan di sebalik kes Beng Hock.

"Saya rasa kes Beng Hock memberi inspirasi kepada tekad saya untuk menggunakan pengetahuan dan kebolehan saya untuk membuat perubahan.

“Walaupun sedikit, saya ingin terus di jalan ini," tambah Lim, yang hanya berusia lima tahun ketika Beng Hock meninggal dunia.

[Baca berita penuh]