Skip to main
Logo Malaysiakini

Bapa Baby Syifaa didakwa salah guna wang RM67,000

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Bapa kepada Nour Rania Asyifaa atau lebih dikenali sebagai Baby Syifaa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM67,000 milik seorang wanita, tahun lepas.

Yuseri Yusoff, 41, didakwa menyalahgunakan harta kepunyaan Nurul Ain Awatiff di sebuah premis di Wangsa Maju di Kuala Lumpur pada 20 Julai hingga 12 Okt 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam T. Gaithri memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

Majistret Illi Marisqa Khalizan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pada 10 Julai lepas, Bernama melaporkan lelaki itu ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan dalam urusan yuran guaman dan kutipan dana sejak tahun lepas melibatkan kerugian RM140,000, susulan laporan polis oleh beberapa individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan tertuduh.

Pada 23 Feb 2022, media melaporkan "Baby Syifaa" yang ketika kejadian berusia 15 bulan ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat asuhan di Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan.

Susulan kejadian itu, ramai yang menghulurkan derma kepada keluarga bayi terbabit sebagai sokongan supaya mereka mendapatkan peguam terbaik untuk membela nasibnya.

- Bernama