Skip to main
Logo Malaysiakini

Malaysia sumbang AS$1 juta lagi kepada UNRWA

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Malaysia mengumumkan sumbangan tambahan berjumlah AS$1 juta kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa sumbangan ini bersifat sekali sahaja dan diumumkan semasa Persidangan Pemberian Sumbangan UNRWA yang diadakan di PBB di New York pada Jumaat.

“Dengan sumbangan terbaru ini, jumlah keseluruhan bantuan Malaysia kepada UNRWA adalah sebanyak AS$5.2 juta sejak November 2023.

"Jumlah ini adalah tambahan kepada komitmen negara untuk menyumbangkan AS$200,000 setiap tahun dari 2021 hingga 2025.

“Malaysia bertekad menyokong UNRWA dan bersedia bekerjasama rapat dengan PBB dan pemegang taruh lain untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secara berterusan kepada rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

Melalui Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), Malaysia juga menyumbang kepada pelbagai inisiatif kemanusiaan termasuk pemberian bantuan perubatan, bantuan makanan, pengurusan sanitasi dan kebersihan air, penyaluran bekalan air bersih dan peningkatan kemudahan perubatan untuk rakyat Palestin.

Sehingga 28 Jun 2024, kerajaan Malaysia telah menerima sumbangan berjumlah RM98,828,028.83.

"Daripada jumlah itu, RM34,992,378.10 telah disalurkan kepada pelbagai pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, badan-badan bukan kerajaan dan organisasi-organisasi antarabangsa termasuk PBB," menurut Wisma Putra.

-Bernama