Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis perlu undang-undang khusus tangani buli siber - KPN

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan undang-undang yang lebih terperinci bagi membendung masalah buli siber secara berkesan, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain.

Razarudin berkata polis ketika ini terpaksa menggunakan peruntukan undang-undang yang berbeza dalam menangani kes berkenaan seperti Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.

“Apabila membabitkan kes peras ugut dan ugutan, polis akan melakukan siasatan mengikut Kanun Keseksaan dan apabila melibatkan kata-kata penghinaan berbentuk kecaman serta ayat jelik, kes itu disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu, beliau telah mengadakan pertemuan bersama dengan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bagi membincangkan keperluan undang-undang khusus mengenai buli siber.

Beliau berkata dalam pertemuan itu, dua jabatan dalam PDRM iaitu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) turut hadir membincangkan serta memperincikan perkara berkenaan.

Semalam, Fahmi berkata dalam usaha menangani masalah buli siber di platform media sosial, Kementerian Komunikasi akan meneliti pindaan undang-undang sedia ada di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain undang-undang lain yang berkaitan.

Beliau turut memaklumkan kerajaan juga akan meneliti jika terdapat keperluan bagi mewujudkan atau menggubal akta baharu khusus untuk buli siber.

- Bernama