Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersatu manipulasi istilah 'terhenti keahlian' - Supol Anwar

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Setiausaha politik perdana menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan Bersatu sebagai memanipulasi istilah ‘terhenti keahlian’ berhubung kedudukan enam ahli parlimen parti itu.

Muhammad Kami mencabar Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk menyatakan secara jelas sama ada enam ahli parlimen yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu dipecat atau tidak.

Ini selepas Muhyiddin menyifatkan speaker Dewan Rakyat Johari Abdul membuat tafsiran songsang apabila mengumumkan bahawa enam wakil rakyat itu kekal sebagai ahli parlimen bebas.

"Apa yang jelas kita nampak ialah mereka ini (enam ahli parlimen dari Bersatu) dipecat meskipun ada percubaan memanipulasi istilah 'terhenti' bagi memenuhi selera tekak Muhyidin.

"Penafsiran peruntukan itu harus dilihat secara konteks keseluruhannya. Jangan menuding jari kepada orang lain, menuduh speaker sebagai songsang dan sebagainya.

"Kamu dahulu yang enggan untuk bersetuju untuk pindaan itu dilakukan dengan lebih ketat. Kenapa ketua pembangkang perlu menggelupur sekarang. Marahlah presiden kamu,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Anwar membidas Bersatu sebagai pihak yang bertanggungjawab membolehkan enam ahli parlimen berkenaan kekal dengan kerusi masing-masing walaupun kini menyokong kerajaan.

Dia menjelaskan semasa akta antilompat parti digubal di parlimen dulu, wakil Bersatu sendiri menolak peruntukan mengenai seseorang yang dipecat parti akan kehilangan kerusi.

Dalam kenyataan balas, Muhyiddin mendakwa bahawa Anwar, gagal memahami Perlembagaan Persekutuan dan bukan partinya.

Menurutnya, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan mana-mana ahli Parlimen yang terhenti menjadi ahli parti maka kerusinya di Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan.

Dia berkata selaras dengan peruntukan ini, Bersatu telah membuat pindaan perlembagaan parti untuk memasukkan keadaan di mana wakil rakyatnya terhenti keahliannya serta merta apabila gagal mematuhi arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Bagaimanapun, Kamil yang juga timbalan ketua pemuda PKR menyangkal kenyataan Muhyiddin sebagai tidak tepat.

Dia turut merujuk kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk mempertahankan dakwaan Anwar.

"Tan Sri Wan Junaidi dengan jelas menyatakan bahawa PN ketika itu sebahagian kerajaan enggan menyokong akta ini sekiranya tidak menggugurkan dua syarat iaitu melanggar arahan parti dan melanggar arahan Whip berlandaskan untuk dapat kelulusan di Dewan Rakyat,” katanya.

Pada Nov tahun lalu, Astro Awani melaporkan Wan Junaidi sebagai berkata bahawa dia bertegas mahu memasukkan klausa yang menyatakan ahli parlimen yang melanggar kehendak parti akan kehilangan kerusi mereka secara automatik.

Kamil berkata bahawa berlandaskan penerangan Wan Junaidi, enam ahli parlimen itu dipecat oleh Bersatu dan tiada istilah 'terhenti keahlian' seperti didakwa oleh parti berkenaan.

"Kalau dipecat maka perkara 49A(2)(c) adalah terpakai di mana mereka tidak akan terhenti menjadi ahli dewan hanya disebabkan oleh pemecatan," katanya.

Perkara 49A(2) (c) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Seseorang ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli Dewan itu menurut Perkara ini hanya disebabkan oleh (c) pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.”

Sebelum ini, PN turut membidas keputusan Speaker Dewan Rakyat mengekalkan kerusi enam ahli parlimen Bersatu yang berpaling tadah dengan mengatakan ia mengkhianati semangat dan hasrat murni pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang ahli Parlimen melompat parti.

Enam ahli parlimen yang menjadi pertikaian ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Pada 20 Jun lalu, Bersatu mengemukakan notis kepada speaker Dewan Rakyat memohon supaya enam kerusi parlimen dipegang oleh wakil rakyatnya dikosongkan.

Ketua whip Bersatu yang juga naib presiden parti, Ronald Kiandee sebelum ini berkata keahlian parti keenam-enam mereka yang sebelum ini menyokong Anwar telah terhenti secara serta-merta.