Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan semak semula senarai VOP susulan pelarasan subsidi diesel

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Kerajaan tidak menafikan berlaku kenaikan harga bahan binaan susulan penyasaran subsidi diesel sejak 9 Jun lalu yang secara tidak langsung memberi kesan kepada kontraktor, terutamanya kumpulan kontraktor G1.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan bagaimanapun menjelaskan kerajaan secara dasarnya bersetuju melaksanakan Syarat Perubahan Harga (VOP) bagi membantu kontraktor G1 yang terkesan.

"Kita faham semasa di bawah penyasaran subsidi diesel, mungkin ada sedikit kenaikan (harga) yang dirasakan kontraktor-kontraktor ini untuk kos sedia ada.

"Jadi, untuk kontrak kerajaan, Kementerian Kewangan (MoF) tengah berbincang dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan CIDB di mana kita akan memperhalusi penyelarasan VOP untuk diberi kepada kontrak-kontrak sedia ada," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Tranformasi G1 Pahang di Kuantan, hari ini.

Kenaikan kos bahan binaan adalah antara isu dibangkitkan kontraktor Pahang pada konvensyen berkenaan.

Amir Hamzah menambah, perbincangan itu telah pun bermula sejak minggu lalu.

Sebelum ini, media melaporkan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) berharap VOP dapat dikembalikan semula bagi mengimbangi kenaikan kos binaan sekitar 30 peratus susulan tindakan memperkenalkan subsidi diesel bersasar.

Kali terakhir kerajaan menambah 11 jenis bahan binaan dalam senarai VOP adalah pada tahun 2022.

Antara bahan binaan termasuk dalam VOP ialah simen, batu bata dan dinding, kaca, batu baur, bahan siling serta bahan bumbung.