Skip to main
Logo Malaysiakini

Mogok lapar: Kaki, perut aktivis Mythreyar mula terasa kejang

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Aktivis yang menentang penjualan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat pro-Israel, Blackrock, M Mythreyar, 46, memaklumkan perut dan kakinya mula kejang setelah enam hari melakukan mogok sejak Rabu lalu.

Bagaimanapun katanya, dia masih lagi bersemangat untuk meneruskan mogok berkenaan sehingga mendapat berita positif daripada kerajaan.

"Saya sedikit letih, perut dan kaki mula rasa kejang. Saya pantau paras gula takut turun mendedak. Saya minum sebotol air pagi ini.

"Mungkin petang ini ada doktor akan datang periksa tahap kesihatan saya. Saya akan teruskan mogok ini selagi terdaya.

"Orang ramai tak ada yang mengganggu, sokongan diterima sangat baik," katanya ketika ditemui di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini.

Mythreyar tidur di kaki lima berhadapan tandas awam yang turut mendapat perhatian orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

Individu yang berasal dari Tanjung Malim itu berkata apa yang dilakukannya demi mempertahankan kedaulatan negara.

"Ada seorang lelaki India datang sini buat bising suruh saya pergi Palestin, dia kata pada saya, orang India susah kenapa tak perjuangkan.

"Saya tak pedulikan dia kerana dia tidak faham isu ini soal kedaulatan negara," katanya lagi.