Skip to main
Logo Malaysiakini

'Mungkin presiden PAS boleh jawab', kata Kula isu warga Israel

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul hari ini mengarahkan seorang timbalan menteri tidak melayan soalan yang dibangkitkan RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) ketika membahaskan rang undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma).

Semasa sesi perbahasan, Rayer beralih daripada bercakap mengenai peruntukan Sosma kepada mempersoalkan peranan peguam yang dikaitkan dengan Perikatan Nasional (PN) dalam membela seorang warga Israel yang baru-baru ini ditangkap dan didakwa memiliki senjata api dan peluru.

Sambil berkata dia mengakui hak seorang peguam untuk membela mana-mana anak guam di mahkamah, wakil rakyat DAP itu mendakwa bahawa seseorang yang mewakili parti politik tidak sepatutnya mengambil kes sedemikian.

"Pagi tadi juga saya dituduh anti-Islam. Pihak-pihak sebelah sana (pembangkang) selalu keluar kenyataan ini.

"Tapi adakah patut seseorang bertanding tiket PN bela seorang warga Israel yang dituduh simpan pelbagai senjata dan peluru dan dihadapkan ke mahkamah?

"Apa pendirian pihak-pihak di sebelah sana? Kita kecam Israel, keganasan dilakukan terhadap warga Palestin dan sebagainya," kata Rayer.

Dia merujuk kepada peguam Naran Singh, yang bertanding untuk PN di Perak semasa pilihan raya umum (PRU) ke-15. Naran dilaporkan telah diupah oleh tertuduh, Avitan Shalom untuk mewakilinya dalam perbicaraan jenayahnya.

Kenyataan Rayer itu mencetuskan kekecohan di kalangan wakil PN, yang mengkritik Ahli Parlimen Jelutong itu kerana melencong daripada isu utama yang dibincangkan.

Kemudian, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran dalam ucapan penggulungannya menyentuh isu itu.

Kulasegaran setuju Rayer melencong jauh, sebelum Johari memberitahunya supaya tidak melayan soalan Rayer.

"Saya tidak benarkan soalan itu. Tidak perlu jawab," kata Johari.

Walaupun dia bersetuju untuk mematuhi arahan itu, Kulasegaran menyebut mungkin Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang hadir perlu menjawab isu tersebut.

"Oleh kerana Tan Sri (Johari) kata saya tidak perlu menjawabnya, maka okey. Tetapi Presiden PAS ada di sini.

“Mungkin persoalan yang dibangkitkan Jelutong ini boleh dijawab oleh presiden PAS,” katanya.