Persatuan dakwa kontraktor kelas F Pahang tak dapat projek berkaitan ECRL
Persatuan Kontraktor Kelas F (PKKF) Pahang mendakwa kontraktor kelas F di negeri itu tidak mendapat sebarang kontrak berkaitan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), sejak projek itu dimulakan kira-kira lapan tahun lalu.
Yang Dipertua PKKF Pahang Ahmad Faiz Zulkifly berkata ia walaupun mereka telah menyerahkan dokumentasi dan kertas cadangan kepada kontraktor peneraju ECRL.
Justeru, katanya lagi, pihaknya sangat kecewa dengan perkara itu memandangkan sejak ECRL dilancarkan, proses pengagihan projek kepada kontraktor tempatan berdasarkan kelas dan kemampuan telah dinyatakan dengan jelas.
"Projek (ECRL) pun dah nak siap, tapi sampai sekarang saya boleh sahkan tidak ada ahli PKKF Pahang diberikan kerja untuk projek berkenaan.
"Ini adalah bertentangan dengan hasrat asal apabila ECRL dilancarkan, untuk memberi ruang dan peluang kepada kontraktor tempatan mengambil bahagian," katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.
Ahmad Faiz mengakui pihaknya tetap berharap kontraktor peneraju projek mega bernilai kira-kira RM55 bilion itu akan memberi peluang kepada kira-kira 500 ahli PKKF.
Dalam ucapannya semasa Majlis Pecah Tanah ECRL Gombak pada 19 Jun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ada membangkitkan jaminan penyertaan kontraktor tempatan dan bumiputera dalam projek itu.
"Kerajaan akan memberi kerjasama diperlukan oleh MRL (Malaysia Rail Link Sdn Bhd) dan CCCC (China Communications Construction Company Ltd ) dalam memastikan pelaksanaan dapat disempurnakan mengikut jadual.
"Saya menyatakan kepada CCCC dan MRL supaya menyegerakan pelaksanaan projek ini dan kerajaan akan berikan segala kerjasama supaya pesatkan pertumbuhan dan kejayaan projek.
"Kita juga minta beberapa perhatian termasuk jaminan, kerjasama kontraktor tempatan dan kontraktor bumiputera serta (penyertaan) pekerja, perunding dan pembekal mencukupi dari syarikat negara dan penyertaan bumiputera selayaknya," kata Anwar.
Projek ECRL dilancarkan bekas perdana menteri Najib Razak pada 2016, membabitkan laluan sepanjang 600 kilometer merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Setakat ini, sebanyak 67 peratus projek terbabit sudah siap.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Faiz meminta kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan pakej rangsangan khas bagi membantu kontraktor Kelas F.
Dia berkata pakej rangsangan itu pernah diperkenalkan Anwar ketika dia memegang jawatan menteri kewangan penghujung tahun 1990-an.
"Jadi kita harap pakej terbabit diperkenalkan semula memandangkan Anwar sekarang sudah jadi perdana menteri.
"Pakej ini sangat penting untuk membantu kontraktor Kelas F, terutamanya bumiputera," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai