Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Ada Apa dengan Tasawuf al-Ghazali?

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

ULASAN | Jika seseorang melihat tasawuf dalam kerangka ilmu, para ulama berbeza pandangan dalam mengungkapkan definisi, takrif atau mahiyyah-nya.

Walaupun demikian, kita boleh mengatakan antara isi tasawuf yang disepakati para ulama ialah tujuan dan maksudnya; yakni untuk memelihara jiwa dan diredai oleh Allah SWT sehingga setiap perilaku seorang sufi itu sentiasa diawasi oleh Allah SWT.

Perbahasan tasawuf seringkali dikaitkan dengan definisi ihsan dalam ibadah daripada hadis Jibril, “Ehsan ialah engkau mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya walaupun engkau tidak melihat-Nya, namun hakikatnya Dia melihat dirimu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Namun jika kita melihat tasawuf dalam kerangka sebuah pemikiran atau manhaj, kita akan dapati lebih banyak pandangan dan pelbagai pendekatan yang dibentang oleh tokoh-tokoh tasawuf.

Daripada pelbagai pandangan itulah, kita melihat fenomena kelahiran pelbagai aliran tasawuf di sepanjang zaman Islam. Perbezaan pemikiran atau manhaj dalam mencapai tujuan dan maksud itulah yang menjadi punca kepelbagaian tersebut. Fenomena lain yang dapat kita telusuri daripada sejarah juga termasuk konsep-konsep pemikiran atau pembawaan yang menonjolkan sisi lain tasawuf.

Tokoh-tokoh yang terlibat dalam mempengaruhi pembawaan tasawuf—sehingga menjadi teori dan doktrin—termasuk Abū Manṣūr al-Ḥallāj (244-309H) yang terkenal dengan kenyataan atau syatah (kenyataan luar biasa) “Akulah al-Haq, (anā al-Ḥaqq).” dan Abū Yazīd al-Bisṭāmī (188-261H) dengan “Maha suci Aku… Maha suci Aku. (Subḥānī… Subḥānī).”

Pembawaan tokoh-tokoh sufi pada abad ke-3 dan 4 Hijriah itu kemudian dihukum oleh para ahli kalam dan ulama akidah sepanjang sejarah, bahkan sehingga ke hari ini.

Di sebalik pelbagai pembawaan—yang dilihat secara zahir mengungkapkan ḥulūl (resap) dan ittiḥād (kesatuan)—Imam al-Ghazālī (450-505H) tampil membentangkan pendekatan hasil analisis beliau terhadap persekitaran intelektual dan budaya amalan agama di zamannya.

Ketika zaman al-Ghazālī, bahkan sebelumnya, hubungan di antara kelompok ulama fekah, ulama aqidah dan ulama tasawuf tidak begitu erat. Hal ini berada di kemuncak apabila al-Ḥallāj disalib selepas para ulama ketika itu menghukum beliau sebagai seorang menyeleweng dan bercanggah dengan agama.

Al-Ghazālī dalam karyanya Ihyāʾ ʿUlūm ad-Dīn (Menghidupkan Ilmu Agama) mengatakan wujud penyimpangan terhadap makna asal beberapa istilah keilmuan. Melalui pemerhatian beliau, pemahaman terhadap istilah seperti fikah, tauhid, ilmu dan zikir kini sudah tidak lagi menjunjung semangat generasi salaf yang sentiasa mengaitkannya dengan tujuan akhirat.

Oleh kerana penyimpangan sedemikian berlaku. Orang yang sibuk dalam bidang-bidang tersebut kelihatan terpisah dan saling bercanggahan kerana mereka kini lebih cenderung melihat habuan duniawi.

Menyedari hal ini, al-Ghazālī tampil dengan anjuran melihat semula kerangka ilmu demi menjalinkan keharmonian di antara kedua-dua kelompok itu.

Jika diteliti analisis beliau terhadap golongan-golongan tersebut, kita akan mendapati wujud kritikan beliau ketika membahaskan ketiga-tiga golongan ini kerana kesemua golongan mempunyai kecenderungan dan permasalahan tersendiri.

Walau bagaimanapun, beliau membetulkan kefahaman ketiga-tiga golongan ini dengan menjelaskan beberapa konsep-konsep dalam ilmu agama. Termasuklah penerangan mengenai ilmu, fekah, tauhid dan zikir golongan sufi.

Menerusi perbahasannya, kita dapat menyaksikan bagaimana al-Ghazālī memurnikan kesemua golongan ini agar ilmu agama yang diwarisi daripada al-Quran dan hadis dapat membuahkan hasil yang mendalam terhadap perjalanan kerohanian seseorang—bahkan perkara ini dilalui sendiri oleh al-Ghazālī yang memang dikenali bukan sahaja sebagai pakar ilmu kalam, malah ilmu fekah, falsafah dan lain-lain.

Sudah tentu, hal ini berbeza dengan kefahaman sebahagian kumpulan mutakhir ini yang menidakkan ilmu tasawuf dengan pelbagai andaian dan takwilan disebabkan beberapa latahan dan kenyataan tokoh yang dianggap sebagai sesat. Pembaca boleh meneliti gagasan al-Ghazālī yang cuba merakyatkan tasawuf melalui Ihyāʾ ʿUlūm ad-Dīn.

Pandangan dan pengalaman al-Ghazālī di jalan tasawuf

Sejarah hidup al-Ghazālī dipenuhi pelbagai warna dan pancaroba. Beliau bukan sahaja terkenal cerdas sedari kecil, malahan sanggup pula berdebat dengan intelektual-intelektual sezaman dengannya. Kecerdasan beliau itu telah menarik perhatian Niẓām al-Mulk (408-485H) yang merupakan wazir kerajaan Seljuk di Khurasan sehingga beliau dilantik menjadi ketua di Madrasah Nizamiah di Baghdad.

Beliau bukan sahaja menjadi mufti terkenal sehingga anak muridnya berbondong menadah ilmu daripada beliau. Beliau juga diberikan pelbagai jawatan di Baghdad yang merupakan pusat pemerintahan Seljuk ketika itu.

Dalam al-Munqidz min aḍ-Ḍalāl (Penyelamat Daripada Kesesatan), kisah beliau ini diceritakan secara panjang lebar. Disebabkan kesibukannya mengurus jawatan penting dalam kerajaan. Mulalah timbul dalam sanubarinya rasa tidak sedap hati dengan nikmat duniawi yang beliau kecapi. Bagi mengelak perasaan itu, beliau menyibukkan diri dengan persoalan dan perbahasan falsafah dan ilmu-ilmu lain sehingga beliau pernah berada dalam fasa ragu-ragu, beliau juga sempat dikunci lidah sehingga tidak dapat mengajar lantaran terasa berat dunia yang sedang ditanggungnya.

Jauh di sudut hatinya, al-Ghazālī berkata, “Pergi dari sini! Pergi! Yang tersisa daripada umurmu hanyalah sedikit, sedang perjalananmu masih jauh dan panjang yang mesti kau tempuh dengan penat dan lelah. Sungguh engkau sekarang berada di lubuk ilmu, berkecimpung dengan amal tapi semua itu hanyalah riyak dan palsu belaka. Jika sekarang kau tidak menyiapkan diri untuk hari akhirat, kemudian bila lagi kau akan bersiap sedia? Sekiranya kau tidak putuskan rantai yang mengikat ini, bilakah kau akan memutuskannya?

“Pada ketika itu juga, semangatku berkobar-kobar, sanggup membuang segala-galanya daripada diriku dan lari meninggalkan urusan duniawi.”

Walaupun syaitan tetap menggoda dengan asakan duniawi, Al-Ghazālī menetapkan azam melawannya dan mengambil keputusan besar untuk melepaskan jawatan sekaligus berkelana sehingga sampai ke Damsyik.

Di Damsyik inilah, beliau beruzlah dan mendalami tasawuf dengan erti kata yang sebenar. Menurut al-Ghazālī, tasawuf mempunyai manhaj tersendiri. Beliau juga menganggap ilmu tasawuf hanya sempurna melalui amalan. Hasil amalan itulah yang dapat menghilangkan rintangan jiwa dan membersihkannya daripada nilai buruk, dengan amalan tersebut barulah hati dapat dibersihkan sekaligus dapat dihiasi dengan zikrullah.

Al-Ghazālī sangat terpengaruh dengan beberapa ulama sebelumnya dalam ilmu tasawuf dan kesufian. Beliau meneliti karangan al-Ḥārits al-Muḥāsibī (170-243H), al-Junaid al-Baghdādī (215-298H), Abū Bakr asy-Syiblī (247-344H) dan al-Bisṭāmī.

“Pada pandanganku, ilmu ini mudah dipelajari tetapi sukar diamalkan. Aku mula mempelajarinya dengan membaca kitab-kitab mereka, serta ajaran daripada para guru tasawuf yang lain sehingga aku benar-benar dapat melihat secara mendalam pada segala tujuan ilmu mereka.

“Aku berjaya memahami ilmu tasawuf ini melalui jalan mereka, sama ada berguru atau mendengar daripada pengikutnya. Bagaimanapun aku kemudiannya memahami bahawa perkara paling istimewa dalam tasawuf ialah sesuatu yang tidak dapat dicapai menerusi pembelajaran, sebaliknya hanya dapat dikecap menerusi dzauq, menerusi ḥāl dan perubahan sifat.

“Kemudian, aku tiba di Syam dan menetap di sana selama hampir dua tahun. Aku tidak melakukan suatu apa pun kecuali hanya uzlah dan khalwat, riyāḍah (olahjiwa) serta bermujahadah bagi menyucikan jiwa, meluhurkan akhlak dan membersihkan hati dengan mengingati Allah sebagaimana yang telah aku pelajari daripada ilmu tasawuf. Pernah dalam beberapa kesempatan aku melakukan iktikaf di Masjid Damsyik. Aku naik ke atas menara masjid dan mengunci diri di situ sepanjang hari.”

Di Damsyik jugalah beliau mengamalkan segala disiplin praktikal tasawuf, termasuklah uzlah, khalwah (berseorangan dengan Allah) dan mujahadah.

Amalan tasawuf al-Ghazālī bukanlah amalan tasawuf yang didakwa orang sebagai amalan orang yang kehilangan akal, golongan merapu atau merepek—yakni fahaman golongan yang kononnya beribadah bersungguh-sungguh sehingga meninggalkan tanggungjawab duniawi— Hal ini diceritakan sendiri oleh beliau:

“Namun begitu, keadaan semasa, tanggungjawab terhadap keluarga, serta keperluan hidup sehari-hari mengganggu tumpuan itu serta menjejaskan mutu khalwahku. Walaupun begitu, aku tetap meneruskan kegiatan uzlah dan khalwah. Sesekali terganggu juga, apabila sesuatu urusan datang secara mendadak, namun apabila gangguan ini hilang, aku teruskan beruzlah dan meneruskan kegiatan itu selama sepuluh tahun. Sepanjang tempoh itu tersingkaplah kepadaku pelbagai perkara yang tidak terhitung dan tidak terduga.”

Menurut al-Ghazālī, pengakhiran daripada menjalani jalan tasawuf ialah fana sepenuhnya dengan Allah. Seorang sufi memilih untuk sentiasa mengingati Allah bukan makhluk selain-Nya.

“Aku yakin bahawa para ahli sufi adalah orang yang bersuluk pada jalan Allah semata-mata. Cara hidup mereka ialah cara hidup terbaik, jalan mereka ialah jalan yang paling benar, dan budi pekerti mereka merupakan yang paling murni. Bahkan, jika dikumpulkan semua akal para cendekiawan, kebijaksanaan ahli falsafah, dan pengetahuan para ulama yang memahami rahsia syariat dengan tujuan untuk mengubah cara hidup dan akhlak ahli sufi serta menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik, mereka pasti tidak akan menemui jalan untuk berbuat demikian. Bagi kaum sufi, setiap gerak dan diam mereka, sama ada luaran atau dalaman, adalah berpandukan cahaya kenabian. Selain daripada cahaya kenabian itu tidak ada lagi cahaya lain di atas muka bumi ini yang dapat menerangi.”

Aliran tasawuf: Al-Ghazālī dan selainnya

Apa yang saya sebutkan mengenai tokoh-tokoh pada awal tulisan kecil ini sebenarnya untuk mencuri sebentar fikiran pembaca. Bahawa memang benar wujud aliran-aliran dalam tasawuf. Jika takrifan kalimah itu sahaja sudah ribuan ditulis, bayangkan pecahan-pecahan yang wujud dalam tasawuf.

Bagaimanapun, para ulama secara umumnya menerima tasawuf sebagai salah satu ilmu Islam—dengan beberapa garis panduan syariat—dan al-Ghazālī merupakan antara ulama yang meletakkan panduan tersebut melalui karya-karyanya. Sebelum beliau, al-Muḥāsibī, Abū Ṭālib al-Makkī (wafat 386H), Abū Naṣr as-Sarrāj (wafat 378H), Abū al-Qāsim al-Qusyairī (376-465H) juga melakukan perkara sama dengan cara menyusun sumber dan analisis terhadap al-Quran, hadis dan kemudian membentangkan kaedah-kaedah dalam tasawuf.

Antara kaedah yang terkenal dalam tasawuf termasuklah, “Sesiapa yang berfikah namun tidak bertasawuf maka dia sudah menjadi fasik, sesiapa yang bertasawuf namun tidak berfikah maka dia sudah menjadi zindik.”

Hari ini, tasawuf menjadi sebuah perbahasan yang mendunia. Tasawuf tidak lagi terbatas kepada pembuktian riwayat-syariat-dzauq-hal-syath dan lain-lain seperti yang dilakukan oleh al-Ghazālī dan pendahulunya. Ia turut dibahas dan digunakan dalam kerangka moden, bahkan turut didalami dengan neraca falsafah-metafizik atau dikenali sebagai tasawuf falsafi yang dikenali perbahasannya lewat karya-karya Muhyiddīn Ibnu ʿArabī (558-638H)—seorang lagi tokoh kontroversi dan dikaitkan dengan konsep wahdah al-wujud atau ittihad.

Begitulah serba-sedikit pengenalan ringkas perkembangan tasawuf dan peranan al-Ghazālī dalam usahanya merakyatkannya, di samping ‘memujuk’ supaya ia didalami dalam kerangka ilmu-ilmu syariah yang lain.

Saya dipanggil dan terpanggil menuliskannya ekoran susuk tokoh ini kembali dibicarakan sebaik sahaja Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 diumumkan baru-baru ini. Eloklah kiranya, para awam seperti kita melawat semula pemikiran al-Ghazālī secara khusus dan pemikiran tokoh tasawuf selainnya.

Barangkali jika seseorang sudah betul-betul memahami pemikiran beliau—yang sebetulnya mencakupi bukan sahaja bidang tasawuf—mungkin adalah peluangnya untuk menjadi mufti wilayah. Mungkin ini canda saya sahaja, namun apa yang dimaktubkan dalam RUU itu sangat penting dalam usaha meminimumkan perbahasan tak berkesudahan: tasawuf dan tidak tasawuf, tarikat atau tidak tarikat, bahkan kafir atau tidak kafir.

Moga-moga Allah memberikan taufik kepada para pemimpin negara terutama Majlis Raja-Raja dalam menimbang RUU yang diusulkan kerajaan ini.


ZAHID M NASER ialah penterjemah bersama kitab agung Imam Al-Ghazali Ihya' Ulumuddin (Menghidupkan Ilmu Agama).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.