Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Fayhsal digantung 6 bulan, PN baca Qunut Nazilah

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Ahli parlimen pembangkang ‘menyambut’ keputusan Dewan Rakyat menggantung Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dengan membaca Qunut Nazilah hari ini.

Bacaan doa yang lazimnya dibuat oleh umat Islam bagi mendoakan musuh agama atau dalam situasi perang itu dipimpin Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang juga salah seorang pemimpin PAS Melaka.

Wan Ahmad Fayhsal (PN-Machang) digantung daripada menghadiri sidang parlimen selama enam bulan ekoran usul Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana membangkitkan surat layang ketika perbahasan.

Surat layang itu terkait dakwaan ke atas penjawat awam dengan maklumat yang tidak disahkan.

Keputusan itu dibuat setelah usul itu tersebut diluluskan dengan undian 110 anggota parlimen.

Zukifli Ismail

Terdahulu Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengumumkan penggantungan Wan Ahmad Fayhsal selama enam bulan selepas undi belah bahagi dijalankan.

Dalam proses tersebut 110 ahli parlimen memberikan sokongan terhadap usul dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Seramai 63 ahli parlimen yang lain menentang, manakala tiga berkecuali. Empat puluh enam ahli parlimen pula tidak hadir.

Dalam usulnya, Azalina berkata Wan Ahmad Fayhsal mengaitkan seseorang sebagai dalang dalam isu pengambialihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Sebelum Azalina mengemukakan usul, beberapa ahli parlimen PN bangkit untuk membantah tindakan ahli parlimen Pengerang berkenaan sehingga menimbulkan keadaan kecoh.

Johari bagaimanapun tidak memberi peluang keadaan menjadi tidak menentu, sebaliknya membuka ruang untuk pihak kerajaan dan pembangkang membahaskan usul tersebut.

Perbahasan berlangsung hampir satu jam sebelum proses undi belah bahagi dilakukan.