Skip to main
Logo Malaysiakini

Peruntukan Jailani ditarik kerana tak sehaluan dengan k'jaan - Rauf

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh mengakui kerajaan menggantung peruntukan terhadap Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis selepas tindak tanduknya yang tidak lagi sehaluan dengan kerajaan.

Katanya perkara itu termaktub dalam akujanji sebagai wakil rakyat kerajaan dan amaran terlebih dulu telah diberikan kepadanya.

"Kalau bersikap tak nampak sehaluan dengan parti...parti berhak jalankan tugas sebagai pentadbir dengan berikan amaran dan tidak beri kemudahan kepada wakil rakyat berlandaskan akujanji. (Ia) Seolah-olah bercerai tidak bersaksi, bercerai tidak bertalak.

"Apabila tak gambarkan (sikap) wakil rakyat kerajaan dan bersikap wakil rakyat pembangkang. (Jailani kata) Gantung tak bertali saya tak boleh terima. Kita ada akujanji," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 16 Jul lalu, Adun Rembia itu yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Melaka diumumkan menjadi ahli PAS selepas membuat permohonan pada 10 Jun tahun lalu sebelum diluluskan pada hari sama.

Mengumumkan perkara itu di parlimen pada 16 Julai lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, berkata penyertaan Jailani ke dalam parti tersebut tidak akan menjejaskan kedudukan Adun terbabit.

Hal itu kerana, kata Takiyuddin, Dewan Undangan Negeri Melaka belum lagi menguatkuasakan undang-undang antilompat parti semasa Jailani menyertai PAS.

Ab Rauf berkata ekoran langkah diambil Jailani, Umno Melaka juga akan mengemukakan tuntutan terhadapnya.

Tindakan tersebut, katanya, selaras dengan ikrar ditandatangani Jailani sebelum dia menerima watikah menjadi calon BN dalam pilihan raya negeri pada 2021.

"Seorang individu yang akan dan telah menjadi wakil rakyat sudah tandatangan aku janji dan sedia terima apa juga syarat BN pada waktu itu," katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Muhammad Jailani sebagai Adun Rembia selepas meninggalkan kerajaan Ab Rauf berkata, dia menyerahkan keputusan tersebut kepada Speaker DUN Melaka untuk menentukan perkara itu berdasarkan peruntukan perlembagaan.