Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Amanah melepas, terlepas peluang

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

ULASAN | Apabila Ahli Parlimen Machang merangkap ketua Pemuda Bersatu digantung oleh parlimen selama enam bulan, saya lihat agak ramai juga pemimpin, ahli dan penyokong Amanah yang membuat ulasan tentang isu tersebut.

Sejujurnya saya berasa simpati kepada mereka. Kerana apa? Kerana bagi saya hampir semua mereka - yang saya lihat - sama ada tidak faham isu sebenar atau gagal menguasai fakta dan isu tersebut.

Justeru maaf cakap ulasan mereka kelihatan agak dangkal dan separa masak.

Mereka hanya mengulas for the sake of mengulas. Atau dalam bahasa kasar, mereka mengulas untuk memastikan mereka tidak dilabel sebagai FOMO (fear of missing out) atau 'tertinggal bas'!

Saya bukanlah orang yang terlalu berpengalaman dalam politik. Cuma alhamdulillah adalah Allah kurniakan sedikit. Namun andainya saya boleh memberi nasihat kepada rakan-rakan dalam Amanah, saya ingin katakan begini: Sebelum ingin mengulas sesuatu isu, peraturan nombor satu ialah anda perlu menguasai fakta dan isu tersebut dengan baik.

Ya, kena faham betul-betul. Adakah isu penggantungan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tersebut sekadar isu memetik "surat layang" dalam ucapannya di Dewan Rakyat atau bagaimana?

Bergantung kepada niat asal

Ada pemimpin Amanah yang dilaporkan berkata tidak ada standard bagi ahli parlimen seperti Machang berhujah dengan bersandarkan surat layang.

Dan majoriti ahli serta penyokong Amanah berhujah atas nada dan skrip yang hampir sama.

Ya, benar secara umumnya adalah tidak wajar untuk mana-mana orang atau ahli parlimen berhujah dalam sesuatu isu dengan bersandar kepada surat layang.

Dalam konteks undang-undang, surat layang adalah keterangan hearsay (dengar cakap) yang tidak diketahui identiti penulisnya, justeru ia tidak dapat disahkan kebenaranya.

Tetapi adakah surat layang itu sendiri harus ditolak secara mentah-mentah?

Hatta dalam mahkamah keterangan hearsay tidak ditolak begitu sahaja oleh mahkamah. Ada masa dan ketika keterangan hearsay masih boleh diterima.

Bagi saya, sama ada kita ingin menerima atau menolak begitu sahaja surat layang tergantung sepenuhnya atas niat apakah surat layang tersebut dikemukakan dari awal.

Jika sesuatu surat layang itu dikemukakan seakan kandungannya adalah benar secara mutlak, ibarat ia telah pun diverifikasi, lalu dihujahkan bahawa pihak yang dinyatakan dalam surat layang tersebut wajar diambil tindakan.

Maka cara tersebut adalah tidak wajar dan dalam konteks parlimen mungkin wajar untuk parlimen mengambil tindakan kepada pihak yang mengemukakan surat layang tersebut.

Bagi saya tindakan parlimen dalam keadaan sebegitu mungkin ada logiknya.

Akan tetapi jika pengemukaan surat layang itu hanya sekadar untuk meminta pihak kerajaan misalnya menyiasat adakah kandungannya benar-benar tidak ada asas sama sekali atau sebaliknya, maka pada hemat saya ahli parlimen tidak boleh dikatakan bertindak secara tidak bertanggungjawab.

Surat layang badan kehakiman

Justeru sama ada wajar atau tidak sesuatu surat layang itu dikemukakan di parlimen perlu dilihat dalam konteks motif ia dibuat.

Kita perlu faham tugas ahli parlimen adalah membangkitkan isu yang ada kepentingan dengan rakyat dan negara.

Oleh itu, umumnya ahli parlimen harus dibiarkan menjalankan tugasnya secara bebas, tanpa gentar dan memihak. Kerana itu ahli parlimen dilindungi dengan beberapa kekebalan undang-undang.

Adakah kandungan surat layang dengan sendirinya (per se) mesti tidak berasas sama sekali?

Maaf, saya tidak berpendapat sebegitu kerana dalam sejarah negara ini ada beberapa isu besar yang meledaknya dimulakan daripada dokumen yang berstatus surat layang!

Mungkin generasi muda sekarang tidak sedar negara ini pernah didedahkan dengan skandal rasuah dan salah kuasa dalam badan kehakiman.

Mungkin ramai juga yang tidak sedar bahawa suatu waktu dahulu tersebar surat layang - yang asalnya dalam kalangan pengamal undang-undang - mengenai dakwaan wujud 112 tuduhan rasuah, salah laku dan salah guna kuasa dalam badan kehakiman.

Isu itu juga meledak di parlimen.

Gambar hiasan

Saya pada masa itu masih baru dalam bidang guaman. Dan saya juga membaca surat tersebut. Telahan saya pada waktu itu ialah, ia mungkin ditulis oleh 'orang dalam' sebab fakta dan maklumatnya begitu terperinci.

Dipendekkan cerita, akhirnya identiti penulis surat layang tersebut terbongkar. Ramai yang terkejut dan tidak menduga hakikatnya ia ditulis oleh seorang hakim. Dia merupakan individu dalam sistem itu sendiri.

Malangnya hakim itu tidak didakwa sebaliknya hanya disarankan untuk meletak jawatan saja.

Pada waktu itu ada pihak berhujah bahawa hakim terbabit tidak didakwa kerana kerajaan semasa bimbang kebenaran dalam surat layang tersebut mungkin terbongkar.

Kadangkala kandungan sesuatu surat layang itu begitu lengkap dengan fakta dan maklumat yang begitu terperinci serta mendalam sehingga sesiapapun yang membacanya akan berpendapat tidak mungkin ia ditulis sebegitu kecuali oleh individu atau mereka yang berada dalam sistem berkaitan.

Jika dikatakan sesuatu surat layang itu misalnya ditulis oleh kakitangan atau pegawai kerajaan, maka amat munasabah jika penulis tersebut tidak mahu mendedahkan identitinya.

Itu amat logik dan munasabah.

Mungkin tindakan menulis surat layang tersebut hanya dilakukan setelah kakitangan kerajaan terbabit tidak sanggup untuk terus berdiam diri melihat "kemungkaran" yang berlaku!

Oleh itu kesimpulan yang mungkin kita boleh buat ialah sama ada wajar atau tidak seseorang itu bersandar pada surat layang - ia perlu dilihat dalam konteks tujuan surat layang tersebut muncul dari awal.

Oleh kerana saya takut artikel ini menjadi terlalu panjang, saya harus berhenti dulu di sini. Insya-Allah esok saya akan menulis bahagian kedua.


MOHAMED HANIPA MAIDIN ialah mantan timbalan menteri undang-undang, ahli parlimen dan peguam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.